PAS Labuan desak krisis bekalan air diselesaikan secara tuntas

6 Januari 2016

LABUAN – PAS Labuan menuntut agar krisis bekalan air di pulau ini diselesaikan dengan kadar yang segera.

Yang Dipertua PAS Labuan, Hj. Hamir Zahari mendakwa, setelah pihak mereka membuat pertemuan dengan pihak Jabatan Bekalan Air Labuan (JBAL), mereka berpendapat bahawa masalah gangguan bekalan air di sini tidak akan selesai sepenuhnya dalam masa yang terdekat.

“Rakyat sudah semakin hilang sabar dan tidak dapat menerima kekalutan terhadap krisis air di Pulau Labuan yang seringkali berlaku. Setiap kali ada masalah bekalan air, alasan yang diberikan adalah masalah teknikal.

“Terdapat beberapa penduduk perumahan dan warga Kolej Matrikulasi Labuan (KML) yang terpaksa meninggalkan rumah mereka untuk menyewa hotel dan rumah inap (homestay) untuk mendapatkan bekalan air yang cukup untuk keperluan mereka.

“Manakala bagi golongan yang tidak mampu, mereka terpaksa bertahan dalam keperitan dan kesengsaraan akibat krisis ini,” katanya ketika menghubungi Labuan Times kelmarin.

Beliau berkata lanjut, isu ini perlu diberi perhatian dan dijawab oleh pihak yang berkenaan demi kebajikan rakyat di sini.

“Apa perancangan jangka panjang dan kenapa pihak kementerian tidak serius didalam menangani krisis ini?” soal Hj. Hamir.

Menurut beliau, penswastaan JBAL merupakan solusi terakhir kepada krisis ini dan diikuti dengan pemberian subsidi kepada setiap pengguna sepertimana yang dilaksanakan di Selangor.

“Antara tempat yang terlibat teruk dalam krisis ini ialah seperti di Tanjung Kubong yang sudah hampir tiga minggu lebih terputus bekalan air paip.

“Di KML pula, seramai 1,600 pelajar dan 300 pensyarah menderita selama empat hari kerana tidak mendapat bekalan air paip dari 28 Disember 2016 hingga 1 Januari 2017.

“Beberapa tempat lagi seperti di Taman Indera Mahkota, Taman Mutiara, Bukit Kuda dan sebahagian kawasan Durian Tunjung di Jalan Penghulu Tuah turut menerima kesan yakni sering terputus bekalan air paip,” katanya.

Hj. Hamir mendakwa, jika masalah ini tidak boleh ditangani secara keseluruhannya, maka, rakyat tidak boleh dipersalahkan jika mereka menganggap pihak yang berkenaan tidak serius didalam menyelesaikan krisis ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *