Tiga bot di Lahad Datu ditahan kerana memiliki alat peledak

FOTO: DUA daripada tiga bot yang ditahan oleh APMM Sabah.

6 Januari 2017

LAHAD DATU – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sabah telah membuat satu tangkapan terhadap tiga buah bot pam pada kedudukan lebih kurang 0.1 batu nautika, barat laut Pulau Malundangan kelmarin.

Pengarah Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) Sabah, Laksamana Pertama Maritim, Mohd. Zubil Mat Som berkata, ketiga bot tersebut dikesan pada jam 11.10 pagi ketika pihak APMM sedang membuat rondaan.

“Ketika anggota kami menghampiri ketiga bot itu, terdapat enam suspek berada di atas ketiga bot pam itu. Tiga daripada suspek dengan segera mengayuh untuk merapatkan dua bot pam terbabit ke daratan untuk tujuan melarikan diri.

“Manakala, bot pam yang satu lagi yang dinaiki oleh tiga suspek yang lain telah bertindak agresif dengan terjun ke dalam laut lalu berenang untuk tujuan melarikan diri ke pesisir pantai yang berhampiran,” katanya.




Setelah diperiksa, terdapat muatan ikan bermacam jenis dan terdapat alatan yang disyaki digunakan untuk mengebom ikan pada ketiga bot pam terbabit.

Ketiga bot pam tersebut telah ditunda dan ditahan di jeti perikanan Lahad Datu untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat APMM untuk siasatan lanjut.

Kesalahan tersebut diperuntukkan di bawah Seksyen 26(1)(b) Akta Perikanan 1985 kerana disyaki memiliki peralatan letupan untuk menangkap ikan.

Sekiranya didapati bersalah, setiap awak-awak boleh didenda tidak lebih daripada RM20,000.00 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali serta kapal boleh dilucut hak.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *