Nota editor: Siapakah yang bakal membina Jambatan Labuan-Sabah?

FOTO: SEKADAR GAMBAR HIASAN.

8 Januari 2017

Isu yang timbul tenggelam namun mekar di hati warga Wilayah Persekutuan Labuan iaitu jambatan yang menghubungkan Pulau Labuan dengan Tanah Besar Sabah di Menumbok sekali lagi ditonjolkan dengan seribu harapan oleh salah seorang menteri persekutuan pada bulan November tahun lalu.

Dalam lawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Rahman Dahlan ke sini pada 10 November 2016 untuk merasmikan Asian Business Conference (ABC) 2016, beliau ada menyentuh berkenaan dengan isu jambatan tersebut.

Dalam sidang media setelah perasmian ABC 2016 itu, beliau berkata, perbincangan mengenai projek Jambatan Labuan-Sabah dijangka akan diadakan paling awal pada bulan Januari 2017.

Perbincangan tersebut melibatkan antara kerajaan persekutuan dengan kerajaan Negeri Sabah demi kelangsungan projek mega yang sudah sekian lama dinanti-nanti oleh warga Labuan.




Sebagaimana yang dimaklumi oleh penduduk Labuan sebelum ini, cadangan projek pembinaan Jambatan Labuan-Sabah ‘hampir-hampir’ menjadi kenyataan suatu ketika dahulu.

Keseriusan pihak yang terlibat ditonjolkan melalui kajian projek jambatan itu yang dilakukan oleh salah sebuah universiti tempatan yang menelan belanja sejumlah RM5 juta.

Pada ketika itu, dianggarkan kos projek pembinaan jambatan tersebut ialah sekitar RM3 billion.

Namun akhirnya, projek tersebut tiba-tiba dibatalkan atas alasan kos yang terlalu tinggi.




Kekadang kita tefikir, mengapa begitu sukar projek Jambatan Labuan-Sabah ini mahu diluluskan oleh pihak kerajaan walau beberapa pelan terbaik telah dirangka dan diusulkan kepada kerajaan.

Ada pula suara yang mengatakan, kenapa jambatan kedua Pulau Pinang begitu mudah diluluskan dan dilaksanakan berbanding dengan projek Jambatan Labuan-Sabah?

Sementara itu, Abdul Rahman iaitu menteri yang menyelia Unit Perancang Ekonomi (EPU) sebagaimana yang dipetik dalam sidang medianya pada ketika itu berazam untuk membawa Projek Jambatan Labuan-Sabah untuk diperhalusi oleh pihak kerajaan.

Beliau mengatakan, beberapa cadangan projek pembinaan jambatan sebelum ini ditolak kerana projek yang dicadangkan itu sama ada terlalu besar atau terlalu bergantung kepada pihak kerajaan.




Namun demikian, menurut beliau, cadangan yang diutarakan oleh Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli kelihatan lebih menarik dan pihak kerajaan sedang meneliti mengenai cadangan tersebut.

Rozman dalam cadangannya sebelum ini berkata, projek jambatan itu akan dibina di atas tanah yang ditimbus.

Jambatan itu akan dibina dari Tanjung Aru, Labuan menuju ke Pulau Daat dengan tujuan untuk memendekkan perjalanan feri kenderaan Labuan-Menumbok.

Terminal feri kenderaan Labuan akan dipindahkan ke Pulau Daat, dimana kesemua penumpang feri yang membawa kenderaan mereka akan mula menaiki feri di Pulau Daat.

Sebaliknya, feri kenderaan dari Menumbok akan menurunkan penumpang dan kenderaan mereka di Pulau Daat.




Sehubungan itu, Ahli Majlis Penasihat Perbadanan Labuan, Hjh. Fauziah Datuk Mohd. Din berkata, alangkah baiknya jika jambatan tersebut diteruskan dari Pulau Daat hingga ke Tanah Besar Sabah.

Hjh. Fauziah dalam kenyataan medianya pada Disember tahun lalu turut berkata, jika beliau (Abdul Rahman) serius mahu melaksanakan pembinaan jambatan tersebut, beliau perlu melaksanakan cadangan Rozman itu dengan membina pula jambatan untuk menghubungkan antara Pulau Daat dengan Menumbok.

Hjh. Fauziah menegaskan bahawa sekarang bukanlah masa untuk mengadakan perbincangan. Tetapi, sekarang adalah masa untuk mengumumkan kepada rakyat terutamanya di Labuan sama ada mahu membina atau tidak jambatan tersebut.

Sehubungan itu, Hjh. Fauziah menyeru kepada pihak kerajaan agar cadangan pembinaan Jambatan Labuan-Sabah yang akan dibiayai oleh pelabur dari Negara China sebagaimana yang dicadangkan oleh bekas ketua menteri Sabah, Tan Sri Harris Salleh sebelum ini dipertimbangkan semula.




Menurut beliau, cadangan tersebut agak rasional untuk dilaksanakan.

Namun, apakah hasrat pembinaan jambatan tersebut mampu direalisasikan?

Pihak pembangkang di sini turut menyuarakan hasrat mereka untuk membina jambatan tersebut dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 13 dahulu seandainya rakyat memberi mandat kepada mereka untuk mentadbir Pulau Labuan dan negara secara keseluruhannya.

Isu tersebut menjadi agenda utama pihak pembangkang sehingga tidak sedikit yang ‘terbuai’ dengan janji tersebut yang sudah pasti memberi kelebihan kepada pihak pembangkang.

Apakah ketika PRU 14 kian hampir nanti, isu Jambatan Labuan-Sabah bakal ditiup semula oleh kedua belah pihak sama ada dari pihak kerajaan mahu pun pembangkang?




Titik akhirnya, siapakah yang bakal merealisasikan pembinaan jambatan tersebut?

Apakah nama pemimpin tersebut menjadi sebutan kerana berjaya membina jambatan tersebut?

Berapa tahun lagikah warga Labuan terpaksa menunggu projek jambatan itu menjadi kenyataan?

Wallahu’alam.

Foto: pexels

One thought on “Nota editor: Siapakah yang bakal membina Jambatan Labuan-Sabah?

  • January 9, 2017 at 6:14 am
    Permalink

    Ha…Teruskan bermimpi dah lebih 10 tahun aku dengar tentang berita jambatan Labuan Sabah ni…Tak juga Jadi jadi…

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *