Gegaran dirasai di Ujana Kewangan dan Menara Perbadanan Labuan

FOTO: AHLI Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli (tiga kanan depan) turut turun dari bangunan Menara Perbadanan Labuan bersama dengan staf lain apabila merasai gegaran tersebut.

10 Januari 2017

LABUAN – Lebih daripada seratus orang yang sedang berada di bangunan Ujana Kewangan dan Menara Perbadanan Labuan berpusu-pusu keluar apabila berlaku gegaran pada kedua bangunan tersebut sebentar tadi.

Menurut pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Labuan, Jainal@Zainal Madasin, anggota bomba dan penyelamat berkejar ke Ujana Kewangan pada jam 2.31 petang sejurus menerima berita mengenai gegaran tersebut.

“Anggota kami masih berada di sana untuk memastikan keadaan sama ada stabil atau tidak,” katanya.

Apabila ditanya jika terdapat sebarang mangsa, beliau berkata, pihak mereka belum menerima sebarang laporan jika ada mangsa yang cedera ketika orang ramai bergerak turun ke bawah bangunan.





Kedua bangunan tersebut iaitu Ujana Kewangan dan Menara Perbadanan Labuan merupakan antara bangunan tertinggi di sini.

Sehubungan itu, pihak Jabatan Meteorologi Malaysia telah mengeluarkan maklumat awal pada jam 2.30 petang tadi mengenai kejadian gempa bumi kuat berskala 7.3 Richter yang telah berlaku pada jam 2.13 petang di Laut Celebes iaitu 466 kilometer dari arah timur laut Semporna,Sabah.

Pulau Labuan turut merasai gegaran akibat gempa bumi tersebut.

Laporan jabatan tersebut turut melaporkan bahawa tiada ancaman tsunami dikesan berikutan kejadian itu.

ANGGOTA bomba dan penyelamat sedang memastikan keadaan di Ujana Kewangan akibat gegaran tersebut.
ORANG ramai yang turun ke bawah bangunan Ujana Kewangan setelah merasai gegaran itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *