Nota editor: Apa sektor pengganti selepas industri minyak dan gas di Labuan?

FOTO: Kapal industri minyak dan gas yang berlabuh di perairan Labuan pada tahun 2010 dahulu. 

15 Januari 2017

Kejatuhan harga minyak dunia sememangnya memberi kesan yang amat besar kepada industri minyak dan gas di Pulau Labuan sehingga ribuan pekerja di sektor tersebut terpaksa dibuang kerja.

Dianggarkan lebih daripada 10,000 orang yang bekerja di sektor minyak dan gas di sini telah keluar meninggalkan Labuan, dimana beberapa syarikat dalam sektor tersebut terpaksa menghentikan operasi mereka di sini.

Keyakinan yang dalam terhadap sektor tersebut sehingga visi menjadikan pulau bebas cukai ini sebagai hab industri minyak dan gas membayangkan industri ini akan bertahan lebih lama di sini.

Namun, tiada siapa menyangka industri yang diangkat begitu tinggi di sini akhirnya jatuh menjunam.

Industri ‘emas hitam’ yang menjadi igauan kepada ramai pemburu kerja terutamanya golongan muda mudi kini menjadi sejarah hitam kepada ekonomi Pulau Labuan.




Mungkin disebabkan keyakinan terhadap industri minyak dan gas di sini, industri lain sebagai sokongan atau ‘backup’ tidak begitu diberi perhatian seandainya berlaku kemelesatan ekonomi seperti sekarang.

Ya, tiada siapa yang menyangka industri yang begitu gah, akhirnya menghadapi kemelut sehingga ramai yang terpaksa berhadapan dengan situasi penggangguran dan kesulitan didalam mencari sumber pendapatan.

Amat menyedihkan apabila terdengar cerita kereta dan rumah milik bekas pekerja dalam industri minyak dan gas terpaksa dijual dan dilelong.

Jika dahulu restoran di sini selalu dipenuhi oleh pekerja industri minyak dan gas dengan pakaian ‘coverall’ sehingga sukar untuk mencari ruang pada mana-mana restoran untuk makan tengah hari, kini selalu sahaja ada ruang untuk makan tengah hari di kawasan Bandar Labuan.

Jika dahulu hotel selalu penuh, kini, amat mudah untuk mencari penginapan di Labuan terutamanya hotel bajet.




Ada pula yang mengusik, pelanggan kelab malam juga kini semakin berkurangan apabila sektor minyak dan gas merudum dengan dahsyatnya di Labuan.

Walau apa pun, Labuan perlu mempunyai solusi bagi mengisi semula ruang kosong yang ditinggalkan oleh industri minyak dan gas.

Pada tahun lalu, Bank Dunia menjangkakan harga minyak dunia akan naik semula selepas tempoh dua tahun. Namun, kenaikannya tidaklah begitu besar.

Nampak gayanya, pihak berkenaan yang ada di Labuan tidak boleh mengharapkan sesuatu yang besar lagi dalam industri minyak dan gas.

Industri lain sebagai pengganti kepada industri minyak dan gas serta boleh memberi manfaat yang besar kepada ekonomi Pulau Labuan perlu diusahakan.




Antara lain sebagaimana yang dicadangkan oleh Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli ialah industri pelancongan.

Industri pelancongan kini menjadi industri yang paling utama di Labuan.

Saya percaya ‘blueprint’ mengenai penggalakan industri pelancongan di sini telah pun disediakan demi melonjakkan kembali ekonomi Pulau Labuan.

Namun, terdapat beberapa kekangan yang menjadi cabaran kepada pertumbuhan industri tersebut di sini.

Persoalan utamanya ialah apakah kita telah bersedia dari segi infrastruktur untuk memajukan sektor pelancongan Labuan?

Siapakah pula ‘target market’ kita untuk melestarikan industri tersebut?

Pulau Labuan yang digelar sebagai ‘Pearl of Borneo’ sesungguhnya memerlukan usaha yang hebat seandainya mahu dikenali sebagai destinasi pelancongan utama di Borneo.




Mampukah pulau ini menjadi sehebat seperti destinasi pelancongan ternama yang lain di sekitar kawasan Asia Tenggara?

Jika pun tidak sehebat seperti destinasi pelancongan yang lain tetapi, bolehkah jumlah pelancong yang datang ke Labuan membantu pertumbuhan ekonomi pulau ini?

Sejak dahulu, penerbangan terus atau ‘direct flight’ dari luar negara ke Labuan telah diusulkan. Namun, usaha tersebut kelihatan begitu sulit sekali sehingga kelulusan bukan mudah untuk diperolehi.

Kemudahan bagi ruang ketibaan untuk penerbangan dari luar negara telah lama tersedia di Lapangan Terbang Labuan, tetapi, sehingga kini ia kosong begitu sahaja dan tidak digunakan langsung.

Jika usul ‘direct flight’ ini telah diluluskan, ianya pasti mengundang agensi pelancongan di sini untuk mengusahakan pakej percutian bagi pelancong dari luar negara.




Bayangkan sahaja jika kapal terbang Singapore Airlines mendarat di sini dari Singapura. Ianya sudah tentu membuka pintu kemasukan pelancong warga Singapura ke sini.

Demikian juga mereka yang ingin ke Singapura dari Labuan, mereka boleh terus ke sana tanpa perlu ke Kota Kinabalu atau pun Kuala Lumpur.

Bayangkan pula jika kapal terbang Cathay Dragon (sebelum ini dikenali sebagai Dragonair), Korean Air dan Japan Airlines mendarat terus di Labuan dari China, Hong Kong, Korea dan Jepun.

Tidakkah landskap pelancongan di Labuan berubah?

Namun, apakah pula produk pelancongan yang boleh kita tawarkan kepada mereka? Apakah yang bakal menarik minat mereka untuk datang ke sini?

Walau apa pun, kita sebagai rakyat marhaen hanya menunggu dan lihat apa yang bakal dilakukan oleh pihak berwajib di sini.

Wallahu’alam.

Nota Editor

Labuan Times

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *