Dua suspek melibatkan pecah rumah dan curi ditangkap di Sungai Bangat

FOTO: ANTARA barangan yang dirampas dari kedua suspek dalam serbuan di rumah mereka.

18 Januari 2017

LABUAN – Dua suspek lelaki masing-masing berumur 26 tahun dan 41 tahun telah ditahan reman sehingga 20 Januari ini kerana terlibat didalam kes curi dan pecah rumah di sekitar Labuan.

Ketua Polis Daerah Labuan, Superintenden Adzhar Othman berkata, sejumlah 36 jenis barang curi bernilai lebih kurang RM10,000 telah dirampas daripada kedua suspek terbabit.

“Suspek pertama merupakan adik ipar kepada suspek kedua, dimana kedua mereka didapati positif menggunakan dadah jenis syabu. Pihak kami berjaya mengesan kedua suspek tersebut melalui urusniaga yang mereka lakukan di media sosial iaitu facebook.

“Kumpulan niaga dalam facebook tersebut amat popular di Labuan sebagai tempat urusan jual beli barangan. Salah seorang suspek telah menawarkan iPhone 5 dengan harga yang murah. Ianya menjadi titik mula kepada penangkapan kedua suspek tersebut melalui siasatan dan risikan.

“Serbuan telah dilakukan pada 13 Januari yang lalu, jam 11 malam pada sebuah rumah teres di Taman Pearl Kampung Sungai Bangat. Hasil serbuan tersebut, pihak kami telah berjaya menangkap kedua suspek yang terlibat,” katanya kepada pihak media di Ibu Pejabat Polis Daerah Labuan pada pagi tadi.




Melalui pemeriksaan, pihak polis telah merampas dari suspek pertama iaitu enam buah telefon bimbit pelbagai jenama, dua beg sandang jenama Pierre Cardin dan Burberry, sebuah dompet, dan sebuah laptop jenama Asus.

Sementara, barangan yang dirampas dari suspek kedua ialah seperti 22 buah telefon bimbit pelbagai jenama, sebuah laptop Acer, sebuah pemain DVD, sebuah equalizer jenama Pioner dan sebuah mesin gerudi jenama Stanley.

Hasil soal siasat, suspek pertama mendedahkan dia telah melakukan tiga kes jenayah, dimana kes pertama dilakukan antara 8 hingga 22 Disember tahun lalu membabitkan pecah rumah di Taman Pearl Kampung Sungai Bangat.

Antara barang yang dicuri dalam kes jenayah pertama ialah seperti dua buah laptop, seutas jam tangan, sebuah beg tangan, iPad dan mesin rumput, dimana kesemuanya dianggarkan bernilai RM8,500.

Kes jenayah kedua yang dilakukan pula ialah antara 25 hingga 29 Disember di Taman Ruby, Kampung Sungai Bangat.




Antara barangan yang dicuri dalam kes kedua ini ialah seperti dua utas jam tangan jenama Rado dan Tissot, tiga pasang subang emas putih, seutas rantai emas, seutas gelang emas, sebentuk cincin emas, dua beg tangan jenama LV dan Gucci dan sebuah telefon bimbit HTC.

Anggaran nilai kerugian ialah sebanyqak RM15,000.

Sementara itu, kes ketiga pula dilakukan pada 10 Januari tahun ini iaitu pada jam 2 pagi di hadapan Public Bank Labuan, dimana suspek terbabit telah mencuri beg sandang jenama Pierre Cardin yang mengandungi sebuah telefon bimbit Galaxy Note 5.

Menurut Adzhar, dalam kes ketiga ini, mangsa telah meninggalkan keretanya sebentar dalam keadaan enjin masih hidup untuk mengambil duit di mesin ATM Public Bank.

“Beg sandang dan telefon bimbit Galaxy Note 5 tersebut berjaya dirampas kembali. Manakala, kesemua barangan curi dalam kes kedua dan ketiga telah habis dijual untuk menampung perbelanjaan harian suspek,” katanya.




Adzhar berkata lanjut, suspek kedua tidak mempunyai rekod jenayah. Namun, suspek pertama mempunyai rekod jenayah lampau melibatkan dadah dan kes curi.

Suspek pertama telah dibebaskan pada 20 Oktober 2016 setelah menjalani hukuman penjara selama setahun.

Melalui soal siasat itu juga, kedua suspek mengaku sebahagian besar barangan yang berada dalam milikan mereka diterima daripada penagih dadah sebagai tukaran untuk mendapatkan bekalan dadah jenis syabu daripada mereka.

Kedua suspek turut mengaku mereka mula terlibat mengedar dadah di sini secara kecil-kecilan sejak Oktober 2016.

Adzhar menjelaskan, kedua suspek disiasat dibawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan, dimana jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 14 tahun atau denda atau kedua-duanya.

Kedua suspek juga disiasat dibawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 7 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *