Kes curi kabel di Pulau Buah: Suspek berumur 32 tahun ditahan

FOTO: ADZHAR (kanan) bersama pegawai polis yang lain menunjukkan kabel milik Telekom yang dicuri.

18 Januari 2017

LABUAN – Seorang lelaki berumur 32 tahun telah ditahan reman sehingga 20 Januari ini kerana terlibat dalam kes curi kabel milik Telekom Malaysia Berhad di Jalan Pulau Buah sini.

Ketua Polis Daerah Labuan, Superintenden Adzhar Othman berkata, suspek tersebut yang tidak bekerja telah ditahan polis ketika suspek dan dua lagi rakannya sedang memotong kabel tersebut.

“Dua rakan suspek telah berjaya melarikan diri. Hasil soal siasat, suspek yang ditahan didapati positif menggunakan dadah. Namun, suspek tersebut tidak memiliki rekod jenayah lampau,” katanya pada pagi tadi.

Sebelum itu, pada 16 Januari lalu, pihak Telekom Labuan telah membuat laporan polis setelah pihak mereka mendapati kulit kabel telah dikopek di Jalan Pulau Buah.

“Pada hari yang sama iaitu pada jam 2.30 petang, pihak polis telah membuat pemerhatian dan risikan di sekitar lokasi kejadian dan mendapati tiga suspek tersebut sedang memotong kabel.

“Dua jenis kabel iaitu 600PR/0.4MM dan 800PR/0.4MM telah dipotong sepanjang 100 meter setiap satu di kawasan semak pada lokasi terbabit.

“Kabel tersebut untuk kegunaan telefon dan internet. Anggaran kerugian berjumlah RM28,000,” katanya.




Adzhar berkata lanjut, modus operandi untuk kes ini, suspek bersama rakannya pergi ke lokasi kejadian dengan menaiki bas.

“Apabila ketiga suspek sampai di lokasi terbabit, mereka akan menarik kabel bawah tanah tersebut dengan menggunakan tangan.

“Kemudian, mereka memotong kabel itu dengan menggunakan gergaji besi lalu mengopeknya.

“Tembaga yang berjaya dikeluarkan akan dimasukkan ke dalam guni,” katanya.

Pihak polis telah berjaya merampas lima karung guni tersebut yang berisi kabel yang telah dipotong.

Turut dirampas ialah sebilah kapak, sebatang pemutar skru, sebilah pisau, gergaji dan ragum.

Menurut Adzhar, kes tersebut disiasat dibawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan jika didapati bersalah boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *