Kes curi: Pekerja gudang Petronas Methanol Labuan ditahan

19 Januari 2017

LABUAN – Tiga suspek lelaki tempatan berumur antara 26 ke 28 tahun telah ditahan kerana dipercayai terlibat dengan kes curi satu unit transformer jenama Rex dan satu kabel sepanjang 34 meter di gudang Petronas Methanol Labuan pada awal tahun ini.

Ketua Polis Daerah Labuan, Superintenden Adzhar Othman (gambar) kelmarin berkata, nilai kerugian akibat jenayah curi tersebut berjumlah RM77,000.

“Kabel yang diletakkan di gudang itu pada 9 November 2016 disedari hilang pada 24 November berikutnya. Manakala, transformer yang diletakkan dalam gudang tersebut pada 25 November 2016, disedari hilang pada 4 Januari lalu.

“Siasatan mendapati hanya dua orang pekerja yang dikenal pasti bekerja di pejabat gudang tersebut. Laluan keluar masuk ke dalam gudang terbabit hanya satu sahaja iaitu melalui pintu hadapan yang dikawal oleh polis bantuan Petronas Methanol.

“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat kesan potongan wayar transformer beserta serpihan ‘varnish’ yang digunakan untuk membungkus wayar transformer yang didapati berada dalam bilik pejabat gudang tersebut,” katanya.




Adzhar berkata lanjut, berdasarkan maklumat, dua suspek yang merupakan pekerja di gudang terbabit telah ditangkap. Manakala, seorang lagi iaitu bekas pekerja di gudang itu turut ditahan.

“Hasil siasatan mendapati, kegiatan curi itu dilakukan dengan menggunakan jentera (forklift) dengan mengangkat kedua kabel dan transformer itu ke dalam gudang.

“Kabel itu dipotong secara berperingkat dengan mengupas kulit kabel tersebut. Kabel yang telah siap dikupas akan dibawa keluar dengan cara memasukkan kabel itu ke dalam kasut keselamatan suspek.

“Manakala, plat tembaga yang sudah siap dipotong dari transformer tidak sempat dibawa keluar,” katanya.




Adzhar menjelaskan, semua kabel tembaga yang dibawa keluar tidak dapat dirampas atau diperolehi semula kerana telah dilupuskan dengan cara menjual ke premis besi buruk.

Kabel tembaga tersebut telah dieskport keluar dari Labuan bersama besi atau barangan lain.

Berdasarkan resit jualan suspek, jualan pertama berjumlah RM800 dan jualan kedua bernilai RM1,800.

“Jika dilihat pada rekod jenayah, salah seorang daripada tiga suspek itu mempunyai rekod jenayah lampau iaitu disabitkan kesalahan dibawah Seksyen 15 (1) (A) Akta Dadah Berbahaya 1952 iaitu tiga bulan penjara pada tahuan 2014 dan dibawah pengawasan polis selama dua tahun,” kata Adzhar.

Ketiga suspek disiasat dibawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan. Jika sabit kesalahan, suspek boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *