Lesen pusat hiburan Starbox di Labuan tidak akan diperbaharui

24 Januari 2017

LABUAN – Ketua pegawai eksekutif Perbadanan Labuan (PL), Azhar Ahmad (gambar) berkata, lesen pusat hiburan keluarga ‘Starbox’ tidak akan diperbaharui setelah lesen lima premis tersebut di sini tamat pada 31 Disember lalu.

“Melalui pemantauan pihak penguatkuasa PL pada tahun ini, salah satu daripada lima premis tersebut didapati cuba meneruskan operasi tersebut tanpa lesen. Tetapi, premis tersebut telah pun dikenakan kompaun,” katanya kepada pihak media kelmarin dalam Majlis Apresiasi Media Labuan anjuran PL di Menara Perbadanan Labuan.

Beliau berkata lanjut, pihak penguatkuasa PL telah membuat 12 kali pemantauan ke atas lima premis Starbox pada tahun lalu dan 11 kali pada tahun ini.

“Sejumlah 15 kompoun telah dikeluarkan kepada premis Starbox yang tidak mematuhi syarat lesen pada tahun lalu dan kesemua kompaun tersebut telah pun dibayar,” katanya.

Sementara itu, pihak penguatkuasa PL telah mengeluarkan sebanyak 656 kompaun pada tahun lalu atas pelbagai kesalahan.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 516 kompaun telah dibayar iaitu sejumlah RM14,435.

Bagi operasi melibatkan tempat letak kereta pula, sebanyak 10 operasi kunci kenderaan telah dilaksanakan, dimana sejumlah 23 buah kenderaan yang dikunci telah dituntut.





Jumlah kutipan hasil bagi kompaun dan kunci kenderaan ialah sebanyak RM1,620.

Sehubungan itu, lapan buah kenderaan terbiar dan diletakkan melebihi dua hari di lot letak kereta tanpa kupon telah ditunda dan disimpan di depoh PL.

Secara keseluruhannya, rekod jumlah kompaun letak kereta yang telah dikeluarkan setakat ini ialah sebanyak 6,578.

Daripada jumlah itu, sebanyak 1,621 kompaun telah dibayar dengan kutipan hasil berjumlah RM28,072.50.

Manakala, masih lagi terdapat 4,957 kompaun yang masih tertunggak.





Berkenaan dengan operasi setinggan pula, Azhar berkata, sebanyak tiga operasi telah dilaksanakan di Kampung Muslim sini.

“Kesemua 215 buah rumah yang dibina tanpa kebenaran di atas tanah Perbadanan Labuan telah pun dirobohkan,” katanya.

Sementara itu, sebanyak 106 kompaun telah dikeluarkan pada setiap minggu kepada premis yang meletakkan barang mereka di tempat awam.

Daripada jumlah itu, sebanyak 94 kompaun telah dibayar.





Operasi yang melibatkan premis ‘hua hui’ dan 4D pula, pihak penguatkuasa PL telah membuat tujuh pemantauan pada tahun lalu di kesemua 18 premis yang beroperasi di sini.

“Sejumlah 11 kompaun telah dikeluarkan kepada premis yang tidak mematuhi syarat lesen, dimana empat daripada premis itu telah membayar kompaun tersebut,” katanya.

Sementara itu, pada tahun lalu sejumlah 13,960 pembaharuan lesen perniagaan telah diluluskan dengan kutipan hasil sebanyak RM645, 557.

Manakala, sejumlah 12 permohonan pembatalan lesen perniagaan atas alasan pemilik tidak lagi menjalankan perniagaan telah diterima pada tahun yang sama.

Tiga jenis perniagaan dalam permohonan lesen baharu perniagaan tertinggi direkodkan oleh PL ialah seperti pejabat urusan, kontraktor dan pembekalan makanan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *