Perutusan PAS Labuan: Peralihan jawatan pengarah kepada anak watan lambat

4 Februari 2017

LABUAN – Yang Dipertua PAS Labuan, Hamir Zahari (gambar) merasa kesal setelah 33 tahun Pulau Labuan menjadi sebahagian daripada Wilayah Persekutuan, namun, hak penduduk di sini belum lagi dipenuhi sepenuhnya sebagaimana yang dijanjikan oleh pemimpin persekutuan dahulu.

Dalam perutusan PAS Labuan sempena Hari Wilayah Persekutuan kelmarin, Hamir berkata, pada mulanya, rakyat Labuan menaruh harapan yang sangat tinggi dan mengimpikan suatu perubahan ketara berlaku agar kemajuan pulau ini setanding dengan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Peralihan pentadbiran seperti jawatan pengarah jabatan untuk disandang oleh anak watan Labuan terlalu perlahan. Kita dapati dalam tempoh 33 tahun masih banyak jawatan ketua atau pengarah jabatan belum diisi oleh anak tempatan.

“Isu Jambatan Labuan-Sabah pula masih berlarutan sehingga kini. Ianya umpama ‘fatamorgana’ di hujung jalan dan sering dijadikan umpan untuk manifesto pilihanraya,” katanya.




Hamir mendakwa, semasa kegemilangan industri minyak dan gas di sini sebelum ini, Pulau Labuan menjana pendapatan sebanyak RM1.4 bilion setahun.

“Cuba bayangkan berapa banyak hasil pulau ini yang disumbangkan kepada kerajaan persekutuan pada era kegemilangan industri minyak dan gas?

“Berapa banyak pula peruntukan yang diberikan semula kepada pulau ini untuk manfaat penduduk Labuan?” soalnya.

Beliau turut menyentuh status pelabuhan bebas cukai Labuan yang semakin terhakis dan mempersoalkan kenapa barang keperluan tidak dihantar terus ke Labuan dari Port Klang.




Lanjut beliau, disebabkan itu, penduduk di sini terpaksa membayar kos pengangkutan pada setiap kali mereka membeli barangan keperluan harian yang dihantar melalui Kota Kinabalu.

Sehubungan itu, menurut Hamir, agihan ekonomi juga tidak memihak kepada rakyat kebanyakan di pulau ini.

“Laba ekonomi hanya berkitar dikalangan peniaga minoriti yang ligat memonopoli dan melobi. Kita percaya terdapat segelintir peniaga yang terlibat didalam aktiviti penyeludupan.

“Amalan buruk seperti rasuah dan sebagainya sudah menjadi tabiat dalam urusan perniagaan. Penyakit ini sudah bersarang dalam diri individu yang terbabit.

“Malah masyarakat semakin hilang keyakinan terhadap seluruh sistem pentadbiran yang didapati tidak mampu membendung amalan buruk tersebut,” katanya.




Sementara itu, beliau turut menyentuh isu berhubungan dengan tindakan jabatan tertentu didalam menangani isu yang berkaitan dengan kebajikan rakyat.

“Masalah gangguan bekalan air mengambil masa dari tiga ke empat minggu untuk selesai. Demikian juga dengan isu kehabisan bekalan minyak masak yang berlarutan hampir sebulan untuk diselesaikan,” katanya.

Manakala, Hamir menyeru kepada pemimpin dan penguasa di sini untuk kembali menghayati sistem pentadbiran Islam yang merangkumi akhlak (sosial), ekonomi, politik dan jenayah.




“Hukum Islam sudah tentunya datang daripada Allah yang telah menciptakan seluruh makhluk dan yang menguasai alam ini. Kepada golongan bukan Islam, usah fobia dengan Islam dan PAS.

“Ini kerana, PAS berpolitik atas panduan Al-Quran yang merupakan kesinambungan daripada Kitab Zabur, Taurat dan Injil. Al-Quran yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad adalah pelengkap kepada ketiga kitab tersebut untuk seluruh manusia di timur dan barat.

“Sistem rekaan manusia selama ini yang diguna pakai oleh masyarakat dunia terbukti lemah dan menghambat kehidupan insan,” katanya.




Selain itu, Hamir mendakwa, masjid utama di Labuan juga belum diwujudkan jawatan imam gred A berijazah dan bertaraf hafiz sedangkan masjid di sekitar Kuala Lumpur, perjawatan tersebut sudah lama dilaksanakan.

Hamir turut menuntut agar Sekolah Agama Islam yang dituntut oleh rakyat selama empat penggal yang lalu di sini masih belum dibina sehingga kini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *