Kes rasuah Labuan: Tertuduh tidak mengaku bersalah

6 Februari 2017

LABUAN – Pengarah Syarikat CK Oil and Gas Sdn Bhd, Datuk Kok Chung Fui dan bekas pegawai penyelaras kepada Syarikat Berkaitan Kerajaan di sini, William Edmund Silla dituduh di Mahkamah Sesyen kerana terlibat dengan tuntutan palsu dan bersubahat yang melibatkan wang tunai berjumlah RM789,360.

Kedua tertuduh yang masing-masing berumur 43 tahun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

Kok didakwa dengan 28 pertuduhan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Sementara, William pula didakwa dengan 28 pertuduhan mengikut seksyen yang sama dan dibaca bersama perenggan 28(1)(b) Akta 694.

Mengikut setiap pertuduhan tersebut, Kok telah mengemukakan tuntutan palsu kepada Petronas Carigali Sdn Bhd berkaitan dengan pembekalan peralatan, dimana kesemuanya berjumlah RM789,360 sedangkan peralatan tersebut tidak dibekalkan.




Manakala, William pula didakwa bersubahat atas perbuatan tersebut dengan menandatangani kesemua dokumen yang berkaitan.

Kesalahan tersebut dilakukan di pejabat Scomi Oiltools Sdn Bhd, Labuan Integrated Base pada 18 September 2013.

Jika sabit kesalahan kedua tertuduh boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi.

Hakim Abu Bakar Manat membenarkan kedua tertuduh diikat jamin sebanyak RM100,000 dengan dua orang penjamin setiap seorang serta pasport mereka diserahkan kepada mahkamah.

Kedua tertuduh turut dikehendaki melapor diri di pejabat SPRM Labuan pada minggu pertama setiap bulan.

Mahkamah menetapkan 10 April sebagai tarikh sebutan semula kes.

Kes ini dikendalikan oleh timbalan pendakwaraya, Rozanna Abdul Hadi dan Rustam Sanip.

Sementara, kedua tertuduh diwakili oleh peguam mereka, Korventt Wheezar.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *