Lima puluh enam pelajar UMS turut serta dalam kursus jurulatih dan pegawai

FOTO: DR. NORAZAH (duduk empat kiri) bergambar bersama dengan barisan jurulatih dan pelajar setelah majlis perasmian kursus tersebut. 

9 Februari 2017

KOTA KINABALU – Seramai 56 orang pegawai kadet Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam Universiti Malaysia Sabah (Kor-Sispa UMS) telah berjaya mengikuti Kursus Methodologi Kejurulatihan Dan Bakal Pegawai yang berlangsung baru-baru ini di Dewan Kolej Kediaman Tun Mustapha, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Kota Kinabalu.

Jurucakap kursus berkata, pegawai kadet Kor-Sispa UMS ini dianggotai oleh 31 orang pelajar tahun tiga dari UMS Kampus Kota Kinabalu, dan 25 pelajar tahun tiga dari UMS Kampus Antarabangsa Labuan.

“Kursus yang diadakan selama seminggu ini bertujuan memastikan pegawai kadet Kor-Sispa UMS yang ditauliah mempunyai sijil asas methodologi kejurulatihan bagi menepati syarat pentauliahan.

“Kursus ini juga bagi mempersiapkan pegawai kadet dengan asas kejurulatihan bagi memastikan pegawai kadet ini mempunyai kemahiran yang secukupnya sebelum ditauliah,” katanya.

Pegawai kadet Kor-Sispa UMS turut diberi pendedahan mengenai peranan dan kepentingan latihan dalam organisasi serta persediaan jurulatih, selain daripada perlu menghadiri ujian teori metodologi dan latihan amali.

Sementara itu, Leftenan Kolonel Bersekutu (PA) Profesor Madya Dr. Norazah Mohd Suki dalam ucapannya sebelum merasmikan majlis penutupan kursus tersebut menyatakan bahawa pengisian program itu mempunyai sasaran yang jelas terhadap pegawai kadet Kor-Sispa UMS dalam membentuk sahsiah diri sebagai mahasiswa yang kental dan berkualiti.

“Saya berharap apa yang dipelajari daripada kursus ini dapat diaplikasikan pada masa hadapan kerana peserta dilengkapi dengan ilmu kepegawaian yang berkaitan seperti akta pertahanan awam, kaedah pertahanan awam, etika dan kepimpinan pegawai,” katanya.

Majlis penutupan ini turut dihadiri oleh ketua jurulatih Kor SISPA UMS, Lt. (PA) Zulfaituri Ramlee, jurulatih Akademi Latihan Pertahanan Awam Bangi, SM (PA) Hilmi Husman, jurulatih Kor-Sispa UMS termasuk SM (PA), Asby Mohd Anwar, Lt.M. (PA) Sahrol A/L Samad, Lt.M. (PA) Japli Siping, Lt.M. (PA) Bakhtiar Yamba, Lt.M. (PA) Mohd Firdaus Laugan, dan Lt.M. (PA) Shazila Niza Mahat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *