Polis Marin Labuan berjaya patahkan cubaan seludup arak dan rokok

FOTO: ADHZAR (berdiri paling kanan) bersama dengan pegawai polis dan pasukan polis marin menunjukkan barangan rampasan arak dan rokok pelbagai jenis yang dirampas dari bot laju terbabit.

11 Februari 2017

LABUAN – Pasukan polis marin telah berjaya mematahkan cubaan untuk menyeludup rokok dan arak pelbagai jenis kelmarin pada jam 12.15 pagi daripada sebuah bot laju yang bergerak dari arah Sungai Kinabenua.

Ketua Polis Daerah Labuan, Superintenden Adzhar Othman berkata, jumlah keseluruhan rokok dan arak tanpa cukai yang dirampas itu ialah RM59,598.

“Bot laju yang dalam keadaan mencurigakan itu dikesan oleh pasukan polis marin yang sedang bertugas di kawasan laut Pulau Burung. Semasa bot peronda menghampiri bot laju terbabit, tiba-tiba bot laju itu memecut dengan laju ke arah pantai Rancha-Rancha.

“Sebaik sahaja bot laju itu menghampiri kawasan pantai, kelihatan dua suspek lelaki yang tidak dikenali bertindak terjun ke laut untuk melarikan diri.




“Hasil pemeriksaan di ruangan dalam bot laju itu telah mendapati kesemua barangan rampasan tersebut disyaki cuba dibawa keluar ke Tanah Besar Sabah tanpa perlu membayar duti kastam,” katanya kepada pihak media pagi tadi di Ibu Pejabat Polis Daerah Labuan.

Kesemua barangan rampasan termasuk bot laju itu telah dibawa ke Pangkalan Polis Marin untuk tindakan dan siasatan lanjut.

Adzhar berkata lanjut, setakat ini belum ada sebarang tangkapan suspek berhubung kes ini. Namun, risikan telah dijalankan untuk mengesan pemilik bot dan juga pihak yang terlibat dalam kes ini.

Kes tersebut disiasat dibawah Seksyen 135 (1) (e) Akta Kastam 1967.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *