Nota Editor: Siapakah yang bakal mewarnai politik pembangkang Labuan dalam PRU Ke-14?

13 Februari 2017

Dijangkakan Pilihan Raya Umum yang Ke-14 bakal diadakan pada tahun ini. Sekali lagi seluruh warga negara bakal menyaksikan ‘acara terbesar’ negara ini iaitu perebutan kuasa politik yang bakal menentukan hala tuju negara ini.

Pulau Labuan yang diletakkan dalam kawasan Parlimen 166 merupakan satu-satunya parlimen di pulau ini dibawah Wilayah Persekutuan.

Pulau ini tidak terkecuali merasai ‘bahang kepanasan politik’ pada setiap kali PRU menjelang tiba.

Labuan agak menarik dari segi sejarah politiknya, dimana wakil dari parti bebas pernah menumbangkan calon dari pihak kerajaan pada suatu ketika dahulu.

Namun, kemenangan itu kemudiannya diakhiri apabila calon yang menang itu menyertai parti kerajaan iaitu Umno yang merupakan salah satu komponen parti Barisan Nasional.





Setelah itu, kekuatan Barisan Nasional di Pulau Bebas Cukai ini menjadi kukuh sehinggalah ke hari ini.

Jika diimbas pada PRU Ke-13 yang lalu di sini, calon parti pembangkang yang begitu popular lagi bergelar Tan Sri cuba mencatat sejarah sekali lagi dengan keazaman beliau untuk menumbangkan calon dari Barisan Nasional, Rozman Isli yang pada ketika itu belum lagi bergelar Datuk.

Calon pembangkang tersebut yang mewakili PKR dilihat kononnya berupaya untuk memenangi PRU tersebut dengan mengenepikan rakan seperjuangan mereka pada ketika itu dari pihak PAS.

Perebutan kerusi antara Pakatan Rakyat pada ketika itu yakni antara PAS dan PKR untuk mahu menghadapi dan menumbangkan Umno begitu hangat diperkatakan.

Namun, dengan pengaruh pemimpin pembangkang dari peringkat persekutuan yang campur tangan dalam penentuan kerusi pembangkang di sini, akhirnya PAS terpaksa akur untuk memberi laluan kepada PKR.





Ada suara yang mengatakan, sepatutnya kerusi pembangkang Labuan dimiliki oleh PAS kerana konsisten didalam bertanding pada setiap PRU walau sering mengalami kekalahan.

Tidak kurang juga suara yang mengatakan PKR perlu diberi peluang untuk bertanding di Labuan memandangkan peluang PKR untuk menang lebih cerah dengan mengambil kira ‘tsunami politik’ yang dijangka berlaku di seluruh negara.

Namun, suara lain mengatakan sekiranya pihak PKR ikhlas didalam perjuangan mereka dan mengamalkan prinsip setiakawan dalam Pakatan Rakyat, mereka perlu menyokong PAS untuk memenangi PRU Ke-13 yang lalu.

Hal tersebut sememangnya diamalkan di kebanyakan kawasan Parlimen dan Dun di Semenanjung yang saling membantu dikalangan Pakatan Rakyat untuk menghadapi calon dari Barisan Nasional.

Tetapi, demi kuasa, rakan sepasukan tidak dipedulikan bahkan ‘diikat’ sebagaimana yang didakwa oleh pemimpin PAS pada ketika itu agar laluan mereka mudah untuk bertanding melawan Barisan Nasional di Labuan.





Mungkin disebabkan membelakangkan rakan seperjuangan, parti pembangkang di Pulau Labuan hanya memenangi 6,069 undi berbanding Umno dengan undi majoriti sebanyak 12,694. Sementara PAS tetap bertanding dengan undi 386.

Dari segi peratusan, hanya 31.4 peratus warga Labuan mengundi pihak pembangkang yang bertanding pada ketika itu berbanding Barisan Nasional sebanyak 65.6 peratus.

Calon pembangkang bergelar Tan Sri yang kalah pada saat itu pernah berkata bahawa beliau tidak akan melupakan sejumlah lebih enam ribu pengundi beliau dalam PRU Ke-13 itu.

Namun kini, apakah beliau masih mengingati semua pengundi dan penyokongnya?

‘Umpan terbesar’ pihak pembangkang pada ketika itu dengan menjanjikan projek pembinaan Jambatan Labuan-Sabah seandainya memenangi PRU Ke-13 juga dilihat tidak begitu ‘berbisa’.

Namun, itulah sejarah PRU Ke-13 di Pulau Labuan.





Berbalik kepada calon parti pembangkang Labuan, siapakah yang bakal dipertaruhkan untuk menentang calon dari Barisan Nasional pada kali ini?

Apakah akan berlaku ‘satu lawan satu’ antara parti pembangkang dan Barisan Nasional dalam PRU Ke-14 ini di Pulau Labuan?

Masa akan menentukan untuk melihat calon dari pihak pembangkang.

Wallahu’alam..

Foto: pixabay

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *