Komuniti peniaga Orchid Street, Ujana Kewangan mohon kadar sewa diturunkan

FOTO: ROZMAN (dua kanan) memotong reben sebagai tanda perasmian Orchid Street tersebut. Turut kelihatan ialah Ahmad Hizzad (kanan), Subramaniam (tiga kanan) dan pegawai Financial Park yang lain.

16 Februari 2017

LABUAN – Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli menyeru kepada pihak Financial Park Labuan Sdn. Bhd agar mempertimbangkan permintaan komuniti peniaga di Orchid Street untuk meringankan beban mereka didalam menghadapi situasi ekonomi yang kurang memberangsangkan pada saat ini.

Dalam ucapannya, beliau berkata, dia telah mendengar keluhan dari golongan peniaga kecil di lokasi Orchid Street berkenaan agar kadar sewa kedai diseragamkan antara penyewa baharu dan lama.

“Selain penyeregaman itu, komuniti peniaga kecil di sini juga memohon agar kadar sewa kedai dikurangkan dan dikecualikan dari membayar sewa dalam tempoh tiga bulan bagi mereka yang baharu memulakan perniagaan.

“Permintaan ini timbul kerana momentum pendapatan bukan lagi seperti dahulu. Ini disebabkan ekonomi Pulau Labuan kini muram dan jumlah pelawat yang berkunjung ke sini juga menurun,” katanya pagi tadi sebelum merasmikan Orchid Street yang terletak di Tingkat Satu, Kompleks Ujana Kewangan sini.




Komuniti peniaga di Orchid Sreet turut menyeru agar semua peniaga kecil yang masih lagi berada di ruang bawah bangunan tersebut dipindahkan dengan kadar yang segera ke Tingkat Satu.

Menurut mereka, ianya untuk mewujudkan persaingan yang adil dalam perniagaan mereka.

Sejumlah 33 buah kedai terdapat di Orchid Street, dimana projek tersebut bermula pada November tahun lalu dan ianya siap sepenuhnya pada bulan Disember berikutnya dengan menelan belanja sebanyak RM300,000.




Semua kos pembinaan Orchid Street itu ditanggung sepenuhnya oleh pihak Financial Park sebagai insentif kepada peniaga kecil.

Menurut pihak pengurusan Financial Park, mereka telah bersetuju sebelum itu untuk memberi sewa percuma bagi bulan Januari 2017 dan juga mengenakan kadar sewa untuk penyewa lama pada kadar RM500 sebulan bagi tempoh masa setahun.

Hadir sama dalam perasmian itu ialah ketua pengarah Labuan FSA, Datuk Ahmad Hizzad Baharuddin dan wakil Financial Park, Subramaniam Muniandy.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *