Bangkai bot catamaran dipercayai telah ditemui di Pantai Membakut

FOTO: IMEJ sebahagian daripada bangkai bot catamaran yang dirakam oleh pihak APMM.

20 Februari 2017

KOTA KINABALU – Bangkai bot jenis Catamaran yang membawa pelancong China pada 28 Januari lalu dipercayai telah ditemui oleh orang awam di Pantai Membakut.

Pengarah Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zubil Bin Mat Som berkata, pihak mereka telah menerima panggilan pada jam 11.02 pagi tadi berkenaan dengan penemuan tersebut.

“Pemanggil memaklumkan bahawa beliau telah ternampak sebuah bot terdampar lebih kurang 100 meter dari kawasan pantai.

“Berdasarkan pengamatan beliau, bot yang terdampar itu adalah bot pelancong jenis Catamaran yang membawa 28 pelancong China yang karam di perairan Pulau Mengalum pada 28 Januari lalu.




“Setelah menerima maklumat tersebut, APMM Labuan dan Bot Kilat 40 telah ditugaskan ke lokasi tersebut, dimana Bot Kilat 40 telah sampai ke lokasi pada jam 2.39 petang,” katanya.

Mohd Zubil berkata lanjut, hasil siasatan mendapati bangkai bot itu ialah milik Fat Cat Tours Sdn. Bhd yang bernombor pendaftaran SJN 01309 X yang telah rosak dan karam di posisi 10 batu nautika Barat Pulau Mengalum yang melibatkan lima mangsa yang telah diselamatkan pada 13 Februari lalu.

Sementara itu, operasi mencari dan menyelamat ke atas pelancong China yang belum ditemui kini sudah masuk hari yang ke-24.

Usaha tersebut diteruskan dengan meliputi keluasan sektor pencarian 300 batu nautika persegi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *