Kes curi: Suami isteri dipenjara lima bulan

23 Februari 2017

AYER KEROH – Sepasang suami isteri dipenjara lima bulan oleh Mahkamah Majistret hari ini, selepas mengaku bersalah mencuri beg berisi pelbagai barangan milik seorang pelancong bernilai RM1,200, dua minggu lalu.

Majistret Analia Kamaruddin menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Fader Ismail, 35, dan isterinya, Nor Syakina Mhd Zin, 26, selepas masing-masing membuat pengakuan bersalah sebaik tuduhan dibacakan ke atas mereka oleh jurubahasa mahkamah.

Mereka dituduh mencuri beg mengandungi kamera Olympus, seutas jam tangan dan beberapa keping kad memori bernilai RM1,200 milik Egidio Eros Mauro di Guesthouse Sayang-Sayang, Kampung Hulu, Melaka, pada 8 Februari lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 380, Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun atau denda dan bagi kesalahan kali kedua, boleh dipenjara, didenda atau disebat, jika sabit kesalahan.




Terdahulu, peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nor Syamilah Jalauddin merayu mahkamah memberikan hukuman ringan terhadap Fader yang tidak mempunyai pekerjaan namun perlu menanggung dua anak berusia empat bulan dan satu tahun.

“Fader mempunyai penyakit darah tinggi dan kencing manis yang membabitkan kos rawatan RM300 sebulan manakala Nor Syakina dan anak bongsunya menghidap talesemia juga memerlukan kos rawatan lebih RM500, ” katanya.

Pegawai Pendakwa Inspektor Nazif Ezra Abdul Rahman memohon mahkamah supaya menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran terhadap tertuduh.

Selepas mendengar rayuan dan hujah berkenaan, Analia memerintahkan pasangan terbabit dipenjara selama lima bulan bermula hari ini.

Sumber: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *