Nota Editor: Harga petrol RON95 pada kadar RM2.30 wajar bagi marhaen?

5 Mac 2017

Alhamdulillah, tiada kenaikan bagi harga petrol RON95 pada permulaan bulan Mac tahun ini sebagaimana yang disebar luaskan melalui media sosial seperti WhatsApp bahawa harga petrol dan diesel kononnya akan naik berkuatkuasa 1 Mac 2017 yang lalu.

Sesungguhnya, khabar angin yang giat diviralkan mengenai sebarang kenaikan harga petrol sebelum permulaan bulan yang seterusnya amat mengganggu emosi rakyat pada ketika ini.

Jika apa yang diviralkan itu tidak benar, maka, rakyat jelata akan menarik nafas lega.

Namun, jika ianya benar secara kebetulan atau tidak, sudah pastinya ianya memberi dua kali pukulan emosi kepada rakyat marhaen.

Kita masih lagi tertanya-tanya apakah sebenarnya yang dimaksudkan sistem apungan (float system) yang diguna pakai untuk menentukan kadar harga petrol dan diesel.




Namun, apa yang kita faham sebagaimana sistem itu mula diperkenalkan pada tahun 2014 dahulu ialah harga petrol di seluruh negara akan diselaraskan mengikut harga minyak dunia.

Dalam bahasa mudah, apabila harga minyak dunia naik, harga petrol negara turut naik dan apabila harga minyak dunia jatuh, harga petrol negara turut turun.

Walaupun, tiada kenaikan harga petrol pada bulan ini. Tapi, cuba bayangkan jika harga petrol RON95 naik pada kadar RM2.40 seliter pada bulan yang berikutnya..?

Tidakkah itu menjadi beban yang nyata kepada rakyat jelata?

Kenapa RON95 yang sering disebut sini ialah kerana itulah jenis petrol yang digunakan oleh orang kebanyakan di seluruh negara kerana ianya paling murah.




Apa yang kita harapkan ialah suatu bentuk mekanisme baharu untuk mengawal harga petrol itu perlu diwujudkan agar rakyat di negara ini tidak terus merasa tertekan dengan kadar harga petrol RON95 pada ketika ini.

Negara kita merupakan pengeluar minyak, dimana Sabah termasuk Labuan dan Sarawak merupakan penyumbang terbesar kepada hasil minyak dan gas negara.

Namun, kita sebagai rakyat biasa secara jujurnya merasa tertekan dengan kadar harga petrol pada saat ini.

Semoga pihak kerajaan mampu memberi jalan keluar kepada rakyat marhaen agar rakyat negara ini terutamanya yang berpendapatan rendah tidak terus merasa terbeban dengan harga petrol RON95 yang berada pada atas paras RM2 seliter.

Foto: pixabay.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *