Hasrat kibar bendera Labuan di Annapurna Base Camp tercapai

FOTO: APENG (kiri) dan Kelly (kanan) berjaya mengibarkan bendera Labuan di ABC.

6 Mac 2017

LABUAN – Hasrat dua rakan sepejabat Jabatan Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian, Perbadanan Labuan (PL), Floreta Mojikon dan Akbar Khan menjadi kenyataan setelah berjaya mengibarkan bendera Wilayah Persekutuan Labuan di Annapurna Base Camp (ABC) pada 1 Mac lalu, tepat pada jam 5.30 petang waktu Nepal.

Kedua mereka yang lebih mesra dipanggil sebagai Kelly dan Apeng oleh rakan sepejabat mereka tiba di ABC yang berketinggian 4,130 meter pada suhu -7 darjah selsius bersama 28 pendaki yang lain.

Melalui perkongsian mereka, perjalanan yang ditempuh oleh mereka adalah sangat sukar disebabkan oleh salji tebal, dimana ketika mereka tiba di ABC, ribut salji sedang melanda.

Mengenai penglibatan mereka dalam aktiviti lasak, Kelly sudah mendaki Gunung Kinabalu sebanyak tujuh kali dan pernah mengambil bahagian dalam acara berbasikal jarak jauh dari Tawau ke Kuching selama 17 hari dibawah program anjuran Jabatan Penerangan pada tahun 1995.

Sementara, Apeng telah menawan Gunung Kinabalu sebanyak empat kali, Gunung Wakid di Sunsuron, Tambunan dan Bukit Kikiran, Apin-Apin, Keningau.

BUKU mengenai Labuan yang berlatar belakangkan ABC.

Kedua Kelly dan Apeng mengikuti rombongan yang melibatkan tiga negara iaitu Malaysia, Singapura dan Filipina untuk ekspedisi tersebut.

Kelly dan Apeng mengikuti ekspedisi tersebut yang dianggarkan bernilai sekitar RM10,000 seorang atas pembiayaan mereka sendiri.

Sehubungan itu, pengarah Jabatan Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian, Perbadanan Labuan, Mahathir Abdul Hamid meluahkan rasa syukur dan gembira dengan kejayaan yang dikecapi oleh Kelly dan Apeng kerana berjaya mengharumkan serta mempopularkan nama Labuan di peringkat antarabangsa.

Sedikit ringkasan mengenai Annapurna Base Camp (ABC) – Ianya terletak di bawah lingkaran banjaran Himalaya di antara Annapurna Selatan dan Machhapuchhare yang mana puncaknya dapat dilihat dari Bandar Pokhara.

Kawasan ini dianggap sebagai suci bagi mereka yang beragama Hindu dan Buddha.

Pendaki yang ingin ke ABC perlu mengikuti lorong pejalan kaki melalui lereng gunung, melalui kampung dan ladang di tepi lembah yang dalam dan di bawahnya akan kelihatan Sungai Modi Kola.

Pada musim sejuk atau salji kawasan tersebut mempunyai pemandangan yang sangat cantik.

KELLY merakamkan foto kenangan dalam ekspedisi mereka.

ABC merupakan jalur pendakian gunung kedua paling popular di Nepal, setelah Everest.

ABC tercatat sebagai jalur yang paling banyak didaki setiap tahun di Nepal dan merupakan gunung pertama yang didaki oleh pendaki yang pertama kali datang ke Nepal.

Bagi Kelly dan Apeng, kejayaan mereka menawan ABC bakal meneruskan impian mereka untuk menawan Everest Base Camp (EBC) dan seterusnya Gunung Tertinggi di dunia iaitu Gunung Everest pada suatu hari nanti.

Kelly dan Apeng yang dijangka tiba di Lapangan Terbang Labuan pada 10 Mac ini bakal membuat travelog mengenai ekspedisi mereka itu untuk dikongsi kepada semua.

APENG dengan kibaran bendera Labuan setelah menawan ABC.

One thought on “Hasrat kibar bendera Labuan di Annapurna Base Camp tercapai

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *