Pengakap Labuan turut serta dalam perkhemahan di Brunei

14 Mac 2017

LABUAN – Persekutuan Pengakap Malaysia, Wilayah Persekutuan Labuan akan menghantar kontinjen ke Perkhemahan Pengakap Kebangsaan Brunei Darussalam Ke-22 pada 19 hingga 23 Mac ini di Pusat Dan Kegiatan Pengakap Kebangsaan Gadong, Brunei Darussalam.

Jurucakap program, Rosni Mohd. Daud berkata, kontinjen tersebut terdiri daripada tiga orang pemimpin dan tiga puluh orang ahli pengakap serta tujuh orang pemerhati.

Sementara itu, majlis penyampaian bendera negeri kepada ketua kontinjen, Skip Dyana Martin telah disempurnakan oleh Datuk Seri Alias Abdul Rahman selaku Yang Dipertua Majlis Pengakap Negeri pada 11 Mac yang lalu di SMK Mutiara.




Acara tersebut turut disaksikan oleh ketua pesuruhjaya pengakap negeri, Skip Hong Heng Chee dan beberapa penolong ketua pesuruhjaya pengakap negeri yang hadir.

Dalam ucapannya, Alias berkata, peranan ahli pengakap Labuan selaku duta kecil negara memainkan peranan penting dalan usaha mengukuhkan hubungan dua hala antara Persekutuan Pengakap Malaysia Wilayah Persekutuan Labuan dengan Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam semenjak termeterainya perjanjian memorandum persefahaman pada 28 Febuari tahun lalu.

“Penglibatan ini merupakan satu usaha untuk meningkatkan lagi hubungan dan pertukaran kemahiran, ilmu pengetahuan serta kepakaran dalam ilmu pengakap menerusi kerjasama dengan persekutuan pengakap serantau,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *