Milik siapakah hati pengundi muda di Labuan?

FOTO: ANTARA golongan belia yang terlibat dengan kempen jalanan bagi pihak pembangkang di Bandar Labuan ketika PRU Ke-13 dahulu.

17 April 2017

Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 bakal menjelang tidak lama lagi.

Apakah pihak Barisan Nasional (BN) khususnya Umno di Labuan mampu ‘memikat dan mengikat’ hati golongan pemuda dan pemudi di Labuan untuk menyokong BN dalam PRU pada kali ini?

Dijangkakan jumlah pengundi baharu bakal bertambah di Labuan bahkan di seluruh negara untuk PRU pada kali ini.

Jika dilihat trend pada PRU Ke-13, ramai golongan muda-mudi seolah-olah condong kepada Pakatan Rakyat dengan ramainya jumlah mereka yang turun ke Perhimpunan Bersih di seluruh negara.

Demikian juga dengan Perhimpunan Bersih yang seterusnya, ramai golongan belia terlibat didalam perhimpunan tersebut semata-mata mahu melihat pembaharuan dilaksanakan di negara ini.

Antara alasan utama mereka ‘turun padang’ untuk menyertai perhimpunan tersebut ialah kerana mereka merasa ‘bosan’ dengan corak pentadbiran kini yang seolah-olah tidak menjaga sepenuhnya kebajikan mereka.

Mereka terpaut pada janji pihak pembangkang sebelum ini yang menawarkan pinjaman pengajian PTPTN mereka akan diberi percuma jika pihak pembangkang berjaya menawan Putrajaya.

Banyak lagi ‘janji manis’ yang ditawarkan kepada mereka sehingga mereka tertawan dengan impian Malaysia Baru yang akhirnya tidak kesampaian apabila BN menang dalam PRU yang lalu.

Persoalannya apakah golongan belia di Labuan terbela dibawah pentadbiran BN selama ini?

Pada hakikatnya, kita tidak boleh menafikan usaha yang dilakukan oleh BN selama ini di Pulau Labuan.

Namun, masih banyak lagi perkara yang boleh dilakukan untuk memperbaiki taraf kehidupan golongan belia di Labuan.

Sepertimana yang dilaporkan dalam akhbar tempatan tidak lama dahulu sebelum industri minyak dan gas di sini menguncup, golongan belia di Labuan seolah-oleh diketepikan dalam pengambilan pekerja di syarikat utama minyak dan gas negara apabila ramai belia dari luar diambil untuk bekerja di situ.

Ianya merupakan salah satu isu yang hangat diperkatakan pada ketika itu.

Namun kini, apakah harapan golongan muda mudi di Labuan?

Persoalan inilah yang seharusnya dijawab oleh kedua pihak BN dan pembangkang untuk menawan hati mereka.

Kita tidak menyentuh pengundi lama atau veteran di sini kerana sudah tentu sebahagian besar daripada mereka merasa selesa dengan situasi semasa.

Tetapi, pengundi veteran juga mampu melakukan kejutan dengan ramai bekas penyokong Umno atau BN di Labuan pada PRU Ke-13 dahulu menyokong parti pembangkang.

Jika dilihat pada manifesto PRU Ke-13 dahulu, pihak BN Labuan menumpukan kepada pembangunan belia melalui pendidikan yang kini diterajui oleh Yayasan Pembangunan Labuan.

Sementara pihak pembangkang di Labuan yang diketuai oleh PKR pada ketika itu pula, lantang berbicara berkenaan dengan pembinaan Jambatan Labuan-Sabah seandainya mereka menang dalam PRU.

Walau apa pun, polisi kerajaan yang dilaksanakan di Pulau Labuan sejak awal tahun ini dianggap ‘membebankan’ terutamanya pelaksanaan sistem jaminan bank iaitu Bon Am yang perlu dibayar untuk kenderaan dengan kapasiti enjin 2,000cc ke atas.

Kononnya ianya bertujuan untuk mengekang kereta bebas cukai di Pulau Labuan daripada diseludup keluar.

Perkara tersebut sudah tentunya tidak masuk akal bagi semua golongan di Labuan termasuklah belia.

Disebabkan kesalahan yang dilakukan oleh ‘beberapa kerat individu kaya’, polisi tersebut dilaksanakan untuk ‘menghukum’ seluruh warga Labuan.

Polisi tersebut dilihat sebagai sesuatu yang tidak adil pada mata masyarakat terutamanya mereka yang memiliki kereta dengan kapasiti enjin 2,000cc ke atas.

Ketika polisi tersebut mahu dilaksanakan, warga Labuan menyeru agar penguatkuasaan oleh jabatan tertentu perlu dipertingkatkan dan bukannya dengan melaksanakan ‘dasar hukuman’ tersebut.

Perkara lain yang sudah tentunya membuat golongan pengundi muda dan baharu di Labuan merasa ‘panas hati’ dengan BN ialah harga petrol yang masih tinggi bagi mereka walau pun harga minyak dunia masih pada paras yang rendah.

Sistem apungan (float system) yang diguna pakai untuk menentukan harga petrol dan diesel negara kini juga menimbulkan kekeliruan dikalangan masyarakat umum.

Mekanisme tersebut dilihat perlu ditambahbaik sepertimana yang dicadangkan oleh pihak pembangkang tidak berapa lama dahulu.

Walaupun, Program Isi Minyak Percuma Motosikal 150cc Ke Bawah dianjurkan oleh Umno di beberapa stesen minyak di Labuan sebelum ini dilihat baik oleh masyarakat, tetapi apakah ianya masih mampu menawan pengundi muda dan baharu di Labuan?

Jika difikirkan secara logik, petrol motosikal tersebut akan habis dalam tempoh yang pendek sedangkan harga petrol negara masih kekal pada tahap yang ditetapkan kecuali ada pengumuman baharu dari pihak kerajaan untuk menurunkan atau menaikkan harga petrol tersebut.

Golongan terpelajar dari kalangan belia sudah tentunya mempunyai daya fikir yang kritis bahawa negara Malaysia adalah negara pengeluar minyak dan gas, namun, rakyatnya tetap ‘menikmati’ harga petrol dan diesel pada kadar yang agak tinggi bagi pengguna warganegara ini.

Bagaimana pula dengan sikap menteri persekutuan terhadap Labuan?

Apa yang bermain dalam minda golongan muda di Labuan terhadap menteri persekutuan mereka?

Apakah golongan muda merasa tersentuh dengan usaha beliau untuk menaik taraf kehidupan mereka di Labuan terutamanya mereka yang berada di kawasan kampung?

Bagaimana pula usaha pihak pembangkang untuk menawan hati pengundi belia di Labuan?

Apakah mereka masih menjanjikan perkara yang sama kepada belia sebagaimana ketika PRU Ke-13 dahulu?

Namun demikian, hati belia milik belia itu sendiri. Terpulang kepada mereka untuk mengundi siapa yang mereka percayai kerana undi mereka adalah hak mereka.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *