Tiga buah rumah hangus dijilat api di Simpang Tiga, Pohon Batu

25 April 2017

LABUAN – Angin kuat telah menyebabkan api merebak dengan cepat sehingga menjilat tiga buah rumah di Simpang Tiga, Jalan Pohon Batu petang tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Labuan, Jainal@Zainal Madasin berkata, pihak mereka telah menerima panggilan kecemasan mengenai insiden itu pada jam 2.07 petang.

“Salah seorang mangsa iaitu pemilik rumah kedai tersebut dikenal pasti sebagai Affandy Abdullah, dimana hampir 90 peratus rumah miliknya itu hangus terbakar.

“Manakala, rumah yang terletak bersebelahan, milik abang ipar Affandy iaitu Rashid Rahman turut terbakar dengan anggaran kemusnahan 70 peratus.

“Sementara itu, sebuah lagi rumah yang berdekatan, milik anak mangsa pertama hanya mengalami 20 peratus kerosakan akibat kebakaran tersebut,” katanya.

Jainal berkata lanjut, jarak antara ketiga buah rumah terbabit dianggarkan dalam jarak dua hingga tiga meter.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian demikian.

Operasi memadam kebakaran itu mula terkawal pada jam 3.25 petang dan punca kebakaran masih dalam siasatan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *