APMM Labuan gagalkan aktiviti seludup di Sungai Klias

6 Mei 2017

LABUAN – Cubaan untuk menyeludup minuman keras tanpa cukai telah berjaya dipatahkan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Labuan di perairan Menumbuk semalam.

Pengarah Maritim Daerah Labuan, Kepten Maritim Che Adnan Md Isa berkata, hasil maklumat dari orang awam, pemantauan telah dilakukan selama sebulan oleh anggota APMM untuk mengesan aktiviti tersebut.

“Pada jam lebih kurang 8.55 malam, bot ronda APMM telah berjaya mengesan dan mengekori sebuah bot yang dipercayai digunakan untuk menyeludup minuman keras tanpa cukai di perairan Pulau Daat yang sedang bergerak menghala ke Menumbok.

“Setelah hampir 30 minit mengekori, bot tersebut didapati merapat ke tebing Sungai Klias. Kelihatan sebuah lori berwarna putih, sebuah kenderaan jenis Honda CRV dan beberapa orang berada di situ untuk memunggah barangan seludup terbabit.

“Kehadiran pihak APMM telah dikesan oleh suspek berkenaan dan kesemua mereka berjaya melarikan diri,” katanya.

Beliau berkata lanjut, kesemua minuman keras pelbagai jenis itu yang dianggarkan bernilai RM17,000 telah dirampas.

Manakala, bot tanpa nombor pendaftaran, lori jenis Isuzu dan kereta Honda CRV turut dirampas.

Kesemua barangan rampasan telah dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Labuan untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim untuk siasatan lanjut.

Menurut Che Adnan, kes tersebut disiasat dibawah Akta Kastam 1967.

Orang awam diseru untuk menyalurkan maklumat bagi menghalang kegiatan penyeludupan barangan tanpa cukai dari terus berleluasa.

Sebarang maklumat dan aduan boleh menghubungi talian 24 jam iaitu MERS 999 atau Pusat Operasi Daerah Maritim Labuan 087-427999.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *