Enam pemancing diselamatkan di perairan Pulau Daat

FOTO: BOT pemancing yang hanyut bersama dengan keenam pemancing tersebut ditunda oleh bot peronda APMM ke Jeti APMM Labuan.

14 Mei 2017

LABUAN – Enam orang pemancing yang hanyut di kawasan perairan Labuan telah berjaya diselamatkan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Labuan pagi tadi.

Pengarah APMM Labuan, Kapten Maritim Che Adnan Md. Isa berkata, bilik operasi mereka telah menerima panggilan kecemasan tersebut pada jam 7.20 pagi melalui MERS 999.

“Keenam orang pemancing tersebut telah ditemui pada jam 8.50 pagi iaitu enam batu nautika tenggara Pulau Daat, Labuan. Menurut salah seorang mangsa, mereka keluar ke laut untuk memancing sejak petang semalam.

“Ketika sedang memancing, tiba-tiba enjin bot mereka meletup pada jam lebih kurang 7.15 pagi tadi,” katanya, dimana bot peronda milik APMM Labuan telah diarahkan untuk mencari dan menyelamat mangsa sejurus menerima laporan mengenai insiden tersebut.

Beliau berkata lanjut, keenam mangsa terbabit berumur dalam lingkungan 39 ke 59 tahun.

“APMM Labuan mengambil berat akan isu keselamatan di laut yang melibatkan pemancing bot kecil dan bot nelayan,” kata Che Adnan.

Justeru itu, pihak APMM Labuan mengharapkan kerjasama dari orang ramai khususnya komuniti maritim supaya membuat persiapan sewajarnya sebelum keluar ke laut berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu.

Che Adnan berkata, mereka disarankan untuk merujuk dan mendapatkan maklumat berkaitan keadaan cuaca semasa sebelum turun ke laut.

Sebarang aduan dan kecemasan di laut boleh dilaporkan pada talian 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Daerah Maritim Labuan pada talian 087-427999.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *