Bot tanpa pemandu berpusing di perairan Tanjung Kubong

24 Mei 2017

LABUAN – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Labuan telah menemui sebuah bot pancing yang sedang berpusing tanpa pemandu di perairan Tanjung Kubong Labuan, petang kelmarin.

Pengarah APMM Labuan, Kepten Maritim, Che Adnan Md. Isa berkata, bilik operasi mereka telah menerima panggilan pada jam lebih kurang 1.30 petang berkenaan bot pancing berkenaan.

“Sejurus menerima laporan itu, kita telah mengarahkan sebuah bot peronda untuk ke lokasi kejadian untuk membuat pemeriksaan. Bot itu berjaya dikesan pada sekitar jam 2.10 petang.

“Bot pancing tersebut telah berhenti berpusing mungkin akibat kehabisan bahan bakar. Pencarian di kawasan berhampiran dilakukan kerana dibimbangi pemandu bot tersebut telah terjatuh ke dalam laut.

“Kemudian, pada jam lebih kurang 2.30 petang, nelayan yang berada di kawasan berhampiran memaklumkan bahawa beliau telah menyelamatkan seorang nelayan berumur 59 tahun yang dipercayai terjatuh dari bot tersebut,” katanya.

Mangsa yang diselamatkan itu telah dibawa ke pantai lalu dikejarkan ke Hospital Labuan untuk rawatan lanjut oleh pihak bomba dan penyelamat.

Justeru itu, Che Adnan berkata, komuniti maritim disarankan agar merujuk dan mendapatkan maklumat berkaitan keadaan cuaca semasa sebelum turun ke laut.

Sebarang aduan dan kecemasan di laut boleh dilaporkan pada talian 24 jam MERS 999 atau menghubungi Pusat Operasi APMM Labuan pada talian 087-427999.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *