Tuntut hutang RM500: Penjual sayur maut di Tanjung Aru, Labuan

FOTO: LOKASI mayat mangsa ditemui dalam keadaan tertiarap.

28 Mei 2017

LABUAN – Seorang penjual sayur berumur 54 tahun mati dibunuh oleh lelaki tempatan yang juga berumur 54 tahun pada Sabtu lalu di Kampung Tanjung Aru sini.

Ketua Polis Daerah Labuan, Superintenden Adzhar Othman berkata, mangsa tersebut iaitu seorang lelaki dikenal pasti sebagai Yahudin Sahib.

“Mayat mangsa ditemui dalam keadaan tertiarap dan telah meninggal dunia kira-kira 100 meter dari rumah milik mangsa oleh pihak polis dan pegawai perubatan yang bergegas ke lokasi kejadian.

“Dipercayai si mati cuba untuk menuntut hutang daripada suspek yang bekerja sebagai nelayan sebanyak RM500 sebelum pergaduhan tersebut berlaku.

“Siasatan di lokasi kejadian mendapati si mati telah dipukul dengan objek keras, dimana terdapat kesan lebam pada bahagian muka serta darah pada bahagian mulut si mati,” katanya.

Pihak polis telah menerima panggilan kecemasan mengenai insiden tersebut pada jam 8.50 malam.

“Kes ini disiasat dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Suspek telah direman selama seminggu iaitu sehingga 3 Jun ini untuk siasatan lanjut,” kata Adzhar.

Suspek tidak memiliki rekod jenayah lampau.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *