PAS Labuan mahu PL pantau etika berpakaian di Bazar Ramadan

30 Mei 2017

LABUAN – PAS Labuan menyeru kepada pihak kerajaan tempatan yakni Perbadanan Labuan (PL) agar melaksanakan satu peraturan atau kawalan terhadap etika berpakaian kepada pengunjung dan peniaga di Bazar Ramadan sini.

Yang Dipertua PAS Labuan, Hamir Zahari (gambar) berkata, dengan kuasa dan kapasiti yang ada pada PL, pihak PAS Labuan berpendapat, wajib bagi pihak PL untuk melaksanakan inisiatif tersebut dengan penuh hikmah dan kebijaksanaan.

“Inisiatif itu penting untuk mendidik masyarakat agar dapat membudayakan sikap memahami dan hormat-menghormati antara satu sama lain.

“Satu skuad pemantau atau pengawal bagi melaksanakan perkara ini perlu diwujudkan. Pernah suatu ketika dahulu, pihak PL menempatkan beberapa orang petugas untuk memantau dan menasihati pengunjung Bazar Ramadan agar menghormati kaum Muslim yang sedang menjalani ibadah puasa.

“Cuma pendekatan atau cara pelaksanaannya kena diperbaiki dengan lebih berhemah. Wajib bagi pihak PL untuk menasihati wanita yang berpakaian skirt, seluar pendek dan baju yang terlalu mendedah aurat agar memakai pakaian yang lebih sopan jika hendak memasuki Bazar Ramadan,” katanya.

Ianya atas dasar menghormati bulan Ramadan.

“Mudah-mudahan cadangan ini akan menjadi satu titik tolak ke arah keharmonian hidup masyarakat berbilang kaum di Pulau Labuan yang indah lagi permai,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *