Pengakap Labuan anjur kursus latihan asas pertolongan cemas

FOTO: PESERTA ditunjukkan kaedah mengusung mangsa yang cedera.

31 Mei 2017

LABUAN – Persekutuan Pengakap Malaysia Wilayah Persekutuan Labuan dengan kerjasama Pasukan Pengakap ke 26 Labuan International School telah menganjurkan Kursus Latihan Asas Pertolongan Cemas “First Responder, First Aider” yang diadakan di Sekolah Antarabangsa Labuan baru-baru ini.

Jurucakap tersebut berkata, kursus itu merupakan kursus pertama yang dianjurkan secara terbuka kepada semua pemimpin pengakap di Labuan.

“Seramai 25 orang peserta terdiri daripada pemimpin pengakap muda, remaja dan kanak-kanak dari lapan buah pasukan iaitu Sekolah Antarabangsa Labuan, SM Sains Labuan, SMK Labuan, SMK Mutiara, SMA MAIWP, SK Pekan 1, SJK(C) Chi Wen, SK Membedai serta krew Kelana A Labuan terlibat didalam menjayakan kursus ini.

“Kursus ini dikendalikan oleh jurulatih bertauliah dari National Institute of Occupational Safety and Health Malaysia (NIOSH), Hasanuddin Beddu, yang juga merupakan seorang pembantu pegawai perubatan kanan di Hospital Labuan dan ahli persaudaraan pengakap raja Wilayah Persekutuan Labuan.

“Antara tujuan program ini dijalankan adalah untuk memberi pendedahan secara teori dan praktikal kepada peserta mengenai cara mengendalikan tindakan kecemasan selain daripada mengenali anatomi manusia, jenis luka dan pendarahan beserta kemahiran pertolongan cemas,” katanya.

Jurucakap tersebut berkata lanjut, antara intipati lain dalam kursus ini adalah seperti bantuan Cardiac Pulmonary Response (CPR) untuk orang dewasa dan kanak-kanak, kaedah heimlich menyelamatkan mangsa tercekik bagi mangsa dewasa dan kanak-kanak, kaedah balutan luka, dan cara mengendalikan mangsa patah tulang.

Pihak Persekutuan Pengakap Malaysia Wilayah Persekutuan Labuan turut mengiktiraf peserta yang berjaya mengikuti kursus ini sebagai ahli automatik pasukan tindakan kecemasan Pengakap iaitu Scout Emergency Response Team (SCREAM) dan berharap mereka akan dapat menjalankan tuga apabila dikehendaki kelak.

Program tersebut diakhiri dengan majlis penyampaian sijil penyertaan kepada peserta program dan sesi fotografi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *