Kad Ceria diperluaskan kepada warga Labuan

3 Jun 2017

LABUAN – Sebanyak 25,482 Kad Ceria diagihkan kepada warga Wilayah Persekutuan Labuan secara percuma pada hari ini berserta dengan senarai 45 rakan dagang di Labuan.

Jurucakap Perbadanan Labuan berkata, pengedaran kad ceria adalah di bawah tanggungjawab Pusat Khidmat Masyarakat Labuan bagi memastikan golongan B40 iaitu golongan berpendapatan sederhana dan rendah mendapat manfaat dari inisiatif yang dilaksanakan.

“Kad Ceria ini merupakan penjenamaan semula daripada Program Kad Ceria Wilayah Persekutuan yang telah dilancarkan pada tahun 2015.

“Kini, penggunaan Kad Ceria ini telah diperluaskan dengan berkonsepkan pemberian diskaun secara terus semasa pembayaran kepada pemegang kad.

“Ini selaras dengan hasrat kerajaan untuk membantu rakyat dalam menangani kos sara hidup yang tinggi terutamanya di Wilayah Persekutuan,” katanya.

Sementara itu, pelancaran Kad Ceria Wilayah 2017 Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan telah disempurnakan oleh menteri wilayah persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor di Bataras Hypermarket sini pagi tadi. 

Sebanyak 1,124 syarikat yang melibatkan 1,352 cawangan dari pelbagai bidang di seluruh parlimen di Wilayah Persekutuan telah bekerjasama dengan Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) untuk memberikan diskaun secara terus kepada pemegang Kad Ceria.

Antara rakan dagang adalah seperti 7-Eleven Malaysia Sdn. Bhd, Berjaya Hotels & Resorts, Berjaya University College of Hospitality, BORDERS, Kenny Rogers, KK Supermart & Superstore Sdn. Bhd, KLCC Food Truck, Menara Kuala Lumpur, Mydin Muhamed Holdings Bhd, Pusat Pakaian Hari-Hari, Radioshack, Rasa Utara, Singer, Wendy’s dan banyak lagi merchant yang terlibat.

Manakala, antara rakan dagang di Labuan yang terlibat adalah Billion Waterfront, Hotel Aifa, Dorsett Grand Labuan Hotel, Tiara Labuan Hotel, Pusat Optik Tai Wah, The New Store, Modern Bazaar Sdn. Bhd, Salam Textile Centre, Kedai Kopi Sopiah, Restoran Warisan Kari Kepala Ikan, 88 Phone Shop, Dandelion Enterprise Sdn. Bhd, Hobby Mix, Dzuno Beauty Collection dan banyak lagi rakan dagang yang memberi kerjasama.

Pihak Perbadanan Labuan turut memberikan insentif kepada rakan dagang (merchant) iaitu diskaun 50 peratus untuk memperbaharui lesen premis perniagaan dan lesen penjaja.

Diskaun sebanyak 50 peratus turut diberikan untuk penyewaan fasiliti yang dimiliki oleh Perbadanan Labuan.

Antaranya ialah Dewan Serbaguna, Plaza Kompleks Sukan Laut Antarabangsa Labuan, Dewan Arena, Anjung Budaya, Gelanggang Badminton, Gelanggang Boling Padang, Makmal Komputer Terminal Sejahtera dan Bilik Tutorial Terminal Sejahtera.

KWP sentiasa berusaha untuk membantu warga wilayah persekutuan dalam mengurangkan kos sara hidup yang tinggi.

Pemegang Kad Ceria ini boleh menggunakannya untuk membuat perancangan pembelanjaan harian keluarga.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *