Apakah kenaikan caj letak kereta di Ujana Kewangan membebankan?

7 Jun 2017

Baru-baru ini kita teruja dengan sistem tempat letak kereta di bawah bangunan Ujana Kewangan yang kini sedang dinaik taraf.

Sistem tersebut dinaik taraf seperti sistem tempat letak kereta yang terdapat di Imago, Kota Kinabalu, KLCC dan di tempat lain di negara ini.

Ianya memang bagus kerana terdapat tanda iaitu warna lampu yang akan menunjukkan sama ada masih terdapat ruang kosong pada tempat letak kereta tersebut atau pun tiada.

Namun, persoalannya – kenapa caj parkir di bawah bangunan Ujana Kewangan tersebut dinaikkan secara mendadak oleh pihak pengurusan?

Baru-baru ini, ada pihak yang menyuarakan rasa kurang puas hati berkenaan dengan caj parkir yang dilihat kurang munasabah untuk dinaikkan begitu mendadak sekali.

Menurut salah seorang pengguna di ruangan parkir tersebut, beliau merasa agak terkejut dengan kenaikan caj parkir terbabit berbanding dengan caj sebelumnya.

“Kita faham sistem parkir di sini (Ujana Kewangan) telah pun dinaik taraf. Tetapi, berkenaan dengan caj parkir, ianya masih boleh dipertimbangkan agar ianya tidak membebankan orang ramai yang ingin menggunakan parkir di sini.

“Mungkin pihak pengurusan boleh mengarahkan kami untuk mencari parkir di tempat lain seandainya kami menyuarakan pandangan kami ini.

“Namun, kenaikan caj yang dikenakan haruslah munasabah sesuai dengan keadaan semasa. Kini, rakyat tertekan akibat situasi ekonomi yang tidak menentu,” katanya.

Beliau berkata lanjut, kenaikan dari RM1 ke RM3 untuk tempoh sejam lebih meletakkan kenderaan di ruangan parkir tersebut adalah sesuatu yang agak mengejutkan.

“Ini bermakna, setiap setengah jam dikenakan caj sebanyak RM1. Mungkin caj yang dikenakan sebanyak RM1 untuk setiap jam masih boleh dipertimbangkan berbanding dengan caj RM1 untuk setiap setengah jam.

“Tambahan pula, sistem tanda lampu masih lagi belum berfungsi dengan sepenuhnya. Ada ruangan parkir yang kekal berlampu merah walaupun ruang parkir tersebut kosong.

“Sementara ada pula ruangan parkir yang berwarna hijau walaupun ruangan itu sudah diisi dengan kenderaan,” katanya.

Demikianlah luahan salah salah seorang marhaen yang juga merupakan pengguna ruangan parkir di bawah bangunan Ujana Kewangan berkenaan.

Sememangnya, kehidupan seluruh rakyat di negara termasuk di Labuan pada saat ini adalah sukar disebabkan keadaan ekonomi yang tidak menentu.

Sementara itu, pengguna parkir kini lebih suka menggunakan ruangan tempat letak kereta milik Perbadanan Labuan di luar bangunan Ujana Kewangan disebabkan caj yang lebih rendah iaitu RM1 tanpa mengira berapa lama kereta diletakkan di sana.

Apa yang dikhuatiri ialah pihak Perbadanan Labuan turut menaikkan caj parkir di situ.

Adalah sesuatu yang sukar apabila rakyat marhaen sedang mengalami kesulitan akibat kemelut ekonomi negara, namun, mereka terus ditekan dengan kenaikan caj barangan dan perkhidmatan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *