Apa status projek pembangunan semula Hotel Labuan?

2 July 2017

Sampai bilakah bangunan Hotel Labuan yang gah pada suatu ketika dahulu akan berdiri di tengah kawasan Bandar Labuan?

Hotel lima bintang tersebut kini tidak lagi beroperasi sejak ianya ditutup pada tahun 1997 dahulu.

Namun, kedudukan hotel yang sudah tidak beroperasi dan lama ditinggalkan itu serba sedikit mencacatkan pemandangan Bandar Labuan.

Sejak kejatuhan industri minyak dan gas di sini, pihak kerajaan tempatan telah mengambil inisiatif untuk menjadikan pelancongan sebagai salah satu industri utama di sini.

Dalam usaha mahu menjadikan Pulau Labuan sebagai pusat pelancongan di rantau ini, perancangan Bandar Labuan perlu diberikan perhatian yang serius kerana ianya merupakan nadi kepada keupayaan Labuan untuk berdaya saing dalam industri pelancongan.

Jurucakap bagi pihak kerajaan tempatan di sini pada tahun lalu berkata, bangunan dan tapak Hotel Labuan tersebut telah pun dijual kepada syarikat dari Australia oleh pihak kerajaan melalui kementerian kewangan dalam tawaran tender sebelum ini.

Walau bagaimanapun, syarikat tersebut dilaporkan tidak berjaya melaksanakan projek itu setelah mendapatkan tender itu pada harga yang tertinggi.

Disebabkan itu, tender itu kemudiannya diserahkan kepada syarikat dari Sabah yang menawarkan harga kedua tertinggi iaitu berjumlah RM14 juta.

Namun demikian, jurucakap tersebut menjelaskan, surat perjanjian untuk membangunkan semula kawasan Hotel Labuan itu belum lagi dapat dilaksanakan kerana mereka masih menunggu geran tanah untuk dikeluarkan semula oleh pihak kerajaan.

Beliau berkata lanjut, jika ianya dibawah bidang kuasa pihak kerajaan tempatan, sudah tentu isu tersebut sudah lama diselesaikan.

“Kami telah meminta pihak kementerian kewangan untuk menyelesaikan isu itu dengan kadar yang segera. Ini kerana, kami tidak mahu tiada apa-apa tindakan dilakukan terhadap bangunan yang sudah lama ditinggalkan itu.

“Kebanyakan orang menyalahkan pihak kerajaan tempatan di Labuan. Tetapi, ianya bukan dibawah bidang kuasa kami untuk menyelesaikannya.

“Apa yang boleh kami lakukan pada saat ini ialah mendesak pihak kementerian untuk mempercepatkan projek pembangunan semula bangunan dan tapak Hotel Labuan,” katanya.

Menurut jurucakap tersebut lagi, apabila geran tanah itu telah dikeluarkan, baharulah surat perjanjian projek pembangunan semula kawasan Hotel Labuan itu boleh ditandatangani.

Rata-rata penduduk Labuan ternanti-nanti apakah yang bakal berlaku terhadap bangunan Hotel Labuan itu.

Apakah ianya akan dibangunkan semula atau apakah terdapat projek lain yang bakal dilaksanakan di kawasan tapak hotel tersebut.

Mungkin warga awam Labuan hanya boleh mengambil pendekatan ‘tunggu dan lihat’ pada apa yang bakal berlaku terhadap bangunan Hotel Labuan itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *