APMM bantu pindahkan mangsa dari Pulau Banggi ke Hospital Kudat

2 Julai 2017

KUDAT – Pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kudat telah membantu untuk memindahkan mangsa lelaki berumur 58 tahun dari jeti Karakit, Pulau Banggi ke jeti Marina, Kudat semalam.

Pengarah Maritim Malaysia Wilayah Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Maritim, Mohd. Zubil Mat Som berkata, pihak mereka telah menerima panggilan kecemasan tersebut pada jam 5.25 petang kelmarin.

“Pihak kami telah dimaklumkan oleh salah seorang pegawai perubatan di Klinik Kesihatan Karakit mengenai mangsa yang mengalami masalah pendarahan dalaman pada paru-paru akibat dihempap kayu semasa memotong kayu di kebun.

“Pesakit tersebut perlu mendapatkan rawatan susulan dengan kadar yang segera. Sejurus panggilan kecemasan itu dibuat, Bot Adal 04 milik APMM diarahkan untuk ke lokasi kejadian untuk memberi bantuan.

“Bot Adal tiba di jeti Karakit itu pada jam 6.40 petang untuk membawa pesakit itu dan tiba di jeti Marina Kudat pada jam 8.40 malam. Pesakit itu seterusnya dibawa ke Hospital Kudat dengan menggunakan ambulans untuk menerima rawatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata lanjut, pihak APMM bersedia pada setiap masa untuk memberi bantuan yang sewajarnya kepada masyarakat dan agensi serta jabatan lain apabila berlakunya kecemasan atau bencana.

Pihak APMM boleh dihubungi melalui MERS 999 sekiranya berhadapan dengan sebarang masalah di laut.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *