Mesin ATM perlu disediakan di Terminal Feri Menumbok

3 Julai 2017

MENUMBOK – Pihak berkenaan diseru untuk memberi perhatian terhadap keperluan untuk menyediakan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di kawasan Terminal Feri Menumbok untuk kemudahan pengguna.

Salah seorang pengguna berkata, mesin ATM itu perlu kerana Terminal Feri Menumbok merupakan kawasan perhentian yang penting sama ada mereka yang hendak keluar dari Labuan ke Sabah atau sebaliknya.

“Pernah suatu ketika, saya dalam perjalanan balik dari Kota Kinabalu ke Labuan, saya terlupa untuk mengeluarkan wang tunai dari ATM.

“Sedangkan pada ketika itu, saya hendak mengejar feri dari Menumbok ke Labuan pada waktu petang. Mujurlah terdapat mesin ATM di Hospital Kuala Penyu.

“Namun demikian, apabila tiba di Hospital Kuala Penyu, mesin ATM di situ kehabisan wang sedangkan masa untuk mengejar feri suntuk dan saya tidak mempunyai wang yang cukup untuk membayar cukai pendaratan di Terminal Feri Menumbok,” katanya ketika menghubungi Labuan Times baru-baru ini.

Beliau selanjutnya berkata, pihak Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah di Terminal Feri Menumbok hanya menerima pembayaran cukai pendaratan dengan menggunakan wang tunai.

“Seandainya pihak jabatan berkenaan menerima pembayaran melalui kad debit, ianya sudah tentu memudahkan urusan pengguna seandainya berlaku masalah seperti yang dialami oleh saya.

“Bagi mereka yang hendak makan dan minum di kawasan perhentian Terminal Feri Menumbok, mesin ATM itu penting seandainya mereka memerlukan wang untuk makan dan minum,” katanya.

Justeru itu, beliau berharap agar penyediaan mesin ATM di Terminal Feri Menumbok boleh dipertimbangkan demi keselesaan pengguna.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *