Empat PATI ditahan di perairan Kudat

FOTO: ANTARA warga asing yang diperiksa dalam operasi tersebut.

8 Julai 2017

KUDAT – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Maritim Kudat telah menahan empat pendatang asing tanpa izin (PATI) di perairan Kudat dalam Operasi Khas yang diadakan selama dua hari dari 5 hingga 6 Julai lalu.

Pengarah Maritim Daerah Kudat, Lt Kdr (M) Boon Chin Chau berkata, sepanjang operasi, sebanyak enam buah vesel termasuk dua feri penumpang dan empat bot nelayan serta 20 bagang ikan bilis telah diperiksa.

“Hasil pemeriksaan tersebut, seramai 182 orang telah diperiksa dokumen pengenalan diri dan empat orang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah ketika diperiksa.

“Kesemua suspek telah diserahkan kepada Jabatan Imigresen Kudat untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Sebanyak tiga buah bot laju APMM digunakan dalam operasi ini yang diadakan secara bersama dengan Jabatan Imigresen dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Kudat bagi membenteras aktiviti kemasukan PATI di perairan Kudat serta memastikan majikan mengupah pekerja yang sah menurut undang-undang negara.

Sementara itu, Boon berkata, APMM akan terus mengadakan kerjasama strategik dari masa ke semasa dengan agensi penguatkuasa yang lain bagi mengekang kemasukan PATI di perairan Kudat.

“Agensi ini sentiasa mengutamakan keselamatan perairan negara dan tidak berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba membawa PATI ke dalam negara,” katanya.

Semua masyarakat diseru agar sentiasa melaporkan kepada pihak penguatkuasa sekiranya mempunyai maklumat mengenai aktiviti keluar masuk PATI ke dalam negara.

Sebarang maklumat mengenai kemasukan PATI dari laut boleh dilaporkan ke Pusat Operasi APMM Kudat pada talian 088-611858 yang beroperasi 24 jam sehari.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *