APMM Kudat bantu pindahkan pesakit dari Pulau Banggi ke Kudat

10 Julai 2017

KUDAT – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kudat telah memberi bantuan kecemasan dengan memindahkan seorang ibu berumur 40 tahun dan bayi berumur tujuh bulan dari Pulau Banggi ke Kudat semalam.

Pengarah Maritim Malaysia Wilayah Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zubil Bin Mat Som berkata, bilik operasi Daerah Kudat telah menerima panggilan kecemasan tersebut dari pegawai perubatan di Klinik Kesihatan Karakit, Banggi pada jam 5.55 petang kelmarin.

“Pegawai perubatan itu memaklumkan kepada kami mengenai ibu yang mengalami keguguran dan pendarahan serta bayi yang turut mengalami jangkitan kuman pada paru-paru. Kedua pesakit perlu dihantar dengan kadar yang segera ke Hospital Kudat untuk rawatan lanjut.

“Bot Adal 03 telah diarahkan ke lokasi untuk memberi bantuan, dimana bot tersebut tiba di jeti Karakit pada jam lebih kurang 6.45 petang. Pesakit telah berjaya dipindahkan ke dalam bot dan tiba di Jeti Marina Kudat sekitar jam 8.04 malam.

“Kedua pesakit berkenaan dilaporkan berada dalam keadaan yang stabil sebelum mendapat rawatan susulan di Hospital Kudat,” katanya.

Anggota APMM turut membantu untuk memindahkan ibu dan bayi dari bot ke dalam ambulans di Kudat.

Khidmat APMM terpaksa digunakan memandangkan bot milik Jabatan Kesihatan Karakit masih lagi rosak.

Sementara itu, beliau berkata, pihak APMM bersedia pada setiap masa untuk memberikan bantuan yang sewajarnya kepada masyarakat dan agensi serta jabatan kerajaan yang lain ketika berlaku kecemasan atau bencana.

Masyarakat diseru agar sentiasa melaporkan kepada pihak APMM sekiranya berhadapan dengan sebarang masalah di laut dengan menghubungi MERS 999.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *