APMM Labuan patahkan cubaan seludup di Menumbok

FOTO: CHE ADNAN menunjukkan minuman keras yang berjaya dirampas.

10 Julai 2017

LABUAN – Sebuah lori lima tan yang sarat dengan minuman keras jenama Tiger Beer tanpa cukai berjaya ditahan di Terminal Feri Menumbok oleh pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Labuan semalam.

Pengarah Maritim DM14, Kapten Maritim Che Adnan Md Isa berkata pagi tadi, minuman keras yang ditutupi dengan kain kanvas berwarna kelabu itu disyaki cuba diseludup keluar dari Labuan ke Tanah Besar Sabah.

“Setelah mendapat maklumat mengenai aktiviti penyeludupan ini, pihak Maritim Labuan telah mengarahkan sebuah bot ronda Maritim Malaysia untuk membuat pemantauan di laut.

“Dalam jam lebih kurang 6.44 petang, bot ronda Maritim Malaysia telah mengekori dan menahan serta memeriksa sebuah feri penumpang kenderaan yang sedang menuju ke Terminal Feri Menumbok pada kedudukan 5.6 batu nautika dari Pulau Labuan.

“Kejayaan menahan lori ini merupakan hasil maklumat dari orang awam dan pemantauan yang dilakukan oleh anggota Maritim Malaysia Labuan selama satu bulan,” katanya.

Beliau berkata lanjut minuman tersebut turut ditutupi oleh beberapa kampit beras dan beberapa kampit serbuk kayu bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Kesemua minuman keras yang dirampas itu dianggarkan bernilai RM206,000.

Kesemua barangan rampasan tersebut termasuk lori yang dianggarkan bernilai RM70,000 telah dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Labuan untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim bagi siasatan selanjutnya.

Che Adnan berkata, seorang pemandu warga tempatan dari Sabah akan dituduh di bawah Akta Kastam 1967 bersama dengan barangan yang dirampas.

Beliau turut menyeru kepada orang awam agar menyalurkan maklumat bagi menghalang kegiatan penyeludupan ini dari terus berleluasa.

Sebarang maklumat dan aduan boleh menghubungi talian 24 jam iaitu MERS 999 atau Pusat Operasi Daerah Maritim Labuan pada talian 087-427999.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *