Bagaimana lori membawa barang seludup tembus ke Menumbok?

10 Julai 2017

Semalam pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Labuan telah berjaya menahan sebuah lori lima tan yang sarat dengan minuman keras jenis Tiger Beer tanpa cukai yang dianggarkan bernilai RM206,000.

Bukankah ini satu kerugian yang besar kepada pihak kerajaan seandainya pihak APMM gagal menahan lori tersebut di Terminal Feri Menumbok?

Pada tahun ini sahaja, dua kes dilaporkan oleh pihak polis marin Labuan yang berjaya menahan lori besar yang penuh dengan minuman keras di Terminal Feri Menumbok selain kejayaan yang dicatat oleh APMM Labuan semalam.

Bagi kes pertama sebagaimana yang dilaporkan oleh portal berita Utusan Sabah pada 3 Mei 2017, sejumlah 103 kotak minuman keras jenama Tiger Beer yang dianggarkan bernilai RM10,815 (harga sebelum cukai) dirampas sebaik lori yang membawa barangan seludup tersebut mendarat di Menumbok dari Labuan.

Sementara itu, kes kedua dilaporkan pada 28 Mei 2017 oleh portal berita yang sama membabitkan 1,900 kotak jenis Tiger Beer bernilai RM161,500 (harga sebelum cukai) juga dirampas dari sebuah lori di Menumbok.

Manakala, terdapat satu kes dilaporkan pada tahun lalu oleh portal berita Labuan Times bertarikh 7 Ogos 2016, dimana sebuah lori yang turut membawa sejumlah kotak minuman keras bernilai RM63,507, rokok bernilai RM10,800 dan kain batik bernilai RM42,000 berjaya ditahan oleh pihak polis marin di Menumbok.

Kesemua harga minuman keras, rokok dan kain batik di atas adalah harga anggaran sebelum cukai.




Jika diperhalusi, apakah ‘strategi’ yang digunakan oleh mereka yang terlibat dengan aktiviti penyeludupan ini sehingga mereka berjaya tembus ke Terminal Feri Menumbok?

Kesemua kes di atas adalah kes penyeludupan yang cuba untuk mengikuti ‘pintu depan’.

Berapa pula jumlah lori yang lepas begitu sahaja melalui jalan pintu depan selama ini?

Di sini kita tidak berbicara mengenai aktiviti penyeludupan yang menggunakan ‘pintu belakang’.

Walau bagaimanapun, pujian harus diberikan kepada pihak penguatkuasa seperti polis marin Labuan dan APMM Labuan yang beberapa kali berjaya mematahkan cubaan seludup dari pintu belakang yang seringkali dilakukan pada waktu malam dengan menggunakan bot laju.

Kejayaan mematahkan aktiviti penyeludupan tersebut serba sedikit berjaya mengurangkan kerugian pihak kerajaan dari segi cukai.

Tiada jaminan bahawa aktiviti penyeludupan ini akan berhenti selagi wujud sikap tamak dikalangan mereka yang terlibat.

Disebabkan oleh sikap tamak mereka, seluruh warga Labuan akan menanggung kesan melalui pelaksanaan peraturan baharu seperti isu kereta tanpa cukai berkapasiti enjin 2,500 cc ke atas yang dikenakan sejumlah bayaran sebagai jaminan bank jika pemilik hendak keluar Labuan dengan menggunakan kereta import yang berdaftar di Labuan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *