Hari Keenam: Usaha mencari mangsa lemas diteruskan

FOTO: ANGGOTA APMM Labuan berusaha untuk menjejaki mangsa lemas tersebut.

21 Julai 2017

LABUAN – Operasi mencari dan menyelamat mangsa lemas iaitu pelajar tingkatan empat, Mohd. Shahrul Iskandar Imran yang lemas di Pantai Layang-Layangan berhampiran dengan Taman Damai pada Ahad lalu masih lagi diteruskan pada siang tadi.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Labuan, Kepten Che Adnan Md. Isa berkata, segala usaha dan bantuan aset APMM bersama dengan pasukan keselamatan yang lain seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Labuan, Polis Marin, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Tentera Udara Diraja Malaysia dan Jabatan Laut Malaysia telah dikerahkan.

“Rondaan dan pencarian di kawasan yang berhampiran dengan lokasi kejadian telah dilakukan sejak hari pertama operasi mencari dan menyelamat ini dijalankan.

“Bagi meluaskan sektor pencarian, Kapal Ronda KM Mabul bersama dengan pihak waris mangsa telah membuat rondaan pada jarak lebih kurang 25 kilometer dari Pulau Labuan semalam.

“Dalam rondaan semalam, pihak waris mangsa ikut serta bersama dengan KM Mabul untuk melakukan pencarian yang bermula pada jam 2 petang,” katanya kepada pihak media petang tadi.

Beliau berkata lanjut, pihak keselamatan tidak menolak kemungkinan bahawa mangsa hanyut lebih jauh berikutan keadaan laut, ombak serta angin yang kuat dan memaksa sektor pencarian diperluaskan sekitar perairan Labuan yang merangkumi Pulau Daat, Pulau Papan, Pulau Kuraman dan Pulau Rusukan serta penambahan jarak pencarian sejauh 25 kilometer pada bahagian barat laut Pulau Labuan.

Turut membantu dalam usaha pencarian itu ialah Jabatan Belia dan Sukan Labuan, badan bukan kerajaan dan penduduk setempat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *