Kes curi di Pasar Tani Labuan Walk perlukan tindakan segera

23 Julai 2017

LABUAN – Salah seorang peniaga di Pasar Tani, Labuan Walk sini merayu kepada pihak berkuasa untuk melakukan sesuatu agar barangan jualan mereka tidak dicuri.

Peniaga tersebut yang menghubungi Labuan Times baru-baru ini berkata, kejadian curi di Pasar Tani itu sudah empat kali berlaku.

“Baru-baru ini, saya dan suami telah mendapati kain kanvas pada tapak niaga kami ditoreh, dimana barangan jualan kami dibongkar dan dicuri.

“Ianya tidak berlaku kepada kami sahaja, bahkan rakan-rakan lain yang berniaga di tapak jualan itu juga mengalami perkara yang sama,” katanya.

Beliau berkata lanjut, mereka bersetuju dengan apa yang dikatakan oleh pihak berkuasa tempatan bahawa mereka tidak bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku terhadap barangan mereka ketika mereka dipindahkan dari tapak lama Pasar Tani ke tapak sekarang.

Namun, menurut beliau, bagaimana mereka hendak mengangkat barangan jualan mereka iaitu kain yang banyak untuk ulang alik ke rumah sedangkan mereka berniaga selama dua hari iaitu Sabtu dan Ahad pada setiap minggu.

“Keadaan ini sudah tentu menyukarkan. Tambahan pula, ianya melibatkan kos minyak kereta kerana sebahagian kami tinggal jauh dari kawasan bandar. Saiz kenderaan kami juga adalah kecil,” katanya.

Beliau turut menyertakan beberapa keping gambar untuk menunjukkan betapa serius kejadian curi tersebut.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *