APMM Kudat bantu pindahkan pesakit dari Pulau Banggi ke Kudat

26 Julai 2017

KUDAT – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kudat telah memberi bantuan kecemasan iaitu memindahkan seorang pesakit lelaki berumur 53 tahun dari Pulau Banggi ke Kudat.

Pengarah Maritim Wilayah Sabah Dan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zubil Bin Mat Som berkata, pesakit tersebut mengalami masalah komplikasi jantung dan tekanan darah rendah serta perlu mendapat rawatan susulan.

“Bilik operasi APMM Kudat telah menerima panggilan kecemasan tersebut pada jam 8.37 malam semalam daripada pegawai perubatan yang bertugas di Klinik Kesihatan Karakit, Pulau Banggi.

“Pegawai perubatan tersebut memaklumkan berkenaan dengan pesakit terbabit dan bantuan bot diperlukan dengan kadar yang segera.

“Bot Cenderawasih 10 tiba di jeti Karakit, Pulau Banggi lebih kurang pada jam 11.01 malam. Pesakit kemudiannya dipindahkan ke dalam bot dan tiba di jeti Marina Kudat pada jam 12.35 pagi,” katanya kepada media petang tadi.

Pesakit yang ditemani oleh isterinya kemudian dibawa oleh ambulans dari jeti Marina ke Hospital Kudat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *