Kes terpencil: Penyakit batuk kokol di Keningau – Dr. Noor Hisham

6 Ogos 2017

KOTA KINABALU – Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, dua kes pertussis (batuk kokol) yang dilaporkan baru-baru ini merupakan adik-beradik dari satu keluarga dan bukan warganegara Malaysia serta masing-masing berumur dua tahun tujuh bulan dan sebelas bulan.

“Mereka tidak pernah mendapatkan imunisasi pertussis sebelum ini. Kedua mereka sedang dirawat di Hospital Keningau Sabah dan kini berada dalam keadaan stabil. 

“Jabatan Kesihatan Negeri Sabah telah meningkatkan aktiviti pencegahan dan kawalan di lapangan melalui pencarian kes di kawasan tempat tinggal kes dan pemberian imunisasi pertussis kepada kanak-kanak yang cicir imunisasi.

“Pendidikan kesihatan melalui ceramah, edaran risalah dan poster juga telah diberikan. Orang ramai tidak perlu merasa khuatir kerana kejadian di Sabah ini adalah terpencil,” katanya kepada pihak media pada hari ini. 


Beliau menjelaskan, pertussis atau batuk kokol (whooping cough) adalah penyakit cegahan vaksin yang disebabkan oleh bakteria iaitu bordetella pertussis.

“Kuman disebarkan melalui udara semasa pesakit bersin atau batuk; dan menjangkiti mulut, hidung dan tekak. Ia boleh menjangkiti semua orang tanpa mengira usia. 

“Namun, bayi dan kanak-kanak yang tidak mendapat imunisasi lengkap adalah golongan yang paling berisiko tinggi untuk dijangkiti.  
 


“Lazimnya, mereka yang dijangkiti akan mengalami batuk berpanjangan dalam tempoh satu hingga dua minggu,” katanya.

Beliau berkata lanjut, ianya boleh berlarutan sehingga dua bulan. Batuk yang teruk dan berpanjangan ini menyebabkan pesakit menjadi kebiruan (cyanosis) kerana tidak sempat bernafas.

“Keadaan ini boleh mengakibatkan sawan kerana bekalan oksigen ke otak berkurangan. Komplikasi teruk seperti pneumonia (radang paru-paru), encephalopathy (radang otak) dan kematian boleh berlaku.  
 


“Pertussis boleh dielakkan dengan pemberian imunisasi. Ia diberi kepada kanak-kanak pada umur dua, tiga, lima dan 18 bulan.

“Apabila seseorang kanak-kanak telah mendapat pelalian pertussis yang lengkap dijangkiti kuman ini, mereka hanya akan mengalami gejala ringan tanpa risiko komplikasi,” katanya.

Wabak pertussis dalam komuniti boleh dicegah dengan memastikan liputan imunisasi pertussis sentiasa melebihi 95 peratus pada setiap masa.

Liputan imunisasi yang tinggi ini dapat memberikan perlindungan kepada komuniti melalui kesan imuniti kelompok (herd immunity).

Dr. Noor Hisham berkata, ibu bapa bertanggungjawab memastikan anak-anak mereka mendapat pelalian pertussis yang lengkap mengikut jadual yang ditetapkan.

Perkhidmatan imunisasi bagi kanak-kanak ini boleh diperolehi di fasiliti kesihatan kerajaan dan swasta. 
 


Remaja dan orang dewasa yang bergejala perlu sentiasa mengamalkan adab batuk dan bersin (menutup mulut) serta mencuci tangan selepas batuk bagi mencegah penularan jangkitan kepada orang lain.

Mereka yang mempunyai gejala ini juga dinasihatkan supaya tidak mencium bayi kerana bayi berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan pertussis dan segera mendapatkan rawatan sekiranya mengalami gejala pertussis.
 


Dr. Noor Hisham turut berkata, pihak kementerian akan sentiasa memantau kejadian penyakit cegahan vaksin ini, termasuk pertussis.

“Orang ramai tidak perlu merasa khuatir kerana kejadian di Sabah ini adalah kes terpencil,” katanya.

Kementerian Kesihatan Malaysia dan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah akan terus memantau kejadian ini serta meningkatkan aktiviti pencegahan dan kawalan bagi memastikan penularan tidak berlaku.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *