ST Labuan FC ke separuh akhir Piala Pairin 2017

10 Ogos 2017

TAMBUNAN – Kelab tunggal Labuan, ST Labuan FC yang mewakili Wilayah Persekutuan Labuan berjaya menewaskan Pasukan Penjara FC pada perlawanan suku akhir dengan jaringan gol 4-2 yang berlangsung di Stadium Kompleks Sukan Tambunan baru-baru ini.

Perlawanan separuh masa pertama menyaksikan Penjara FC juara Liga Perpaduan Sabah pada tahun lepas, berjaya menjaringkan gol pertama sebelum penyerang sensasi ST Labuan FC, Mohd Khairill Reduan Muslimin menjaringkan gol penyamaan pada minit akhir separuh masa pertama.

Sebaik saja detik separuh masa kedua bermula, ST Labuan FC yang dibimbing oleh jurulatih Cheong Shan Shi dan dibantu oleh Alfhian Jeffri Chin memulakan penguasaan mereka dengan membuat serangan bertali arus ke pintu gol pasukan lawan.

Hasil serangan bertubi-tubi oleh pasukan ST Labuan FC, pasukan tersebut berjaya menjaringkan gol pada minit ke-55 melalui pemain tengah iaitu Nazirul Hasyir Awg Damit.

Selang dua minit kemudian, Fanday Mohd berjaya menjaringkan gol ketiga dan tidak lama kemudian, Fanday Mohd sekali lagi menjaringkan gol keempat bagi pasukan ST Labuan FC.

Sebelum perlawanan tamat, Penjara FC berjaya menjaringkan gol kedua bagi pasukan mereka.

Dengan kemenangan ini, ST Labuan FC mara ke separuh akhir dan akan bertemu dengan Putra FC yang dibimbing oleh lagenda bolasepak Sabah, Matlan Marjan.

Putra FC sebelum itu berjaya melangkah ke separuh akhir setelah menewaskan tuan rumah, Tambunan FA dengan jaringan 4-2.

Perlawanan separuh akhir dijadualkan berlangsung pada 12 dan 13 Ogos ini pada jam 3.30 petang, di Stadium Kompleks Sukan Tambunan.

Dalam perlawanan separuh akhir pertama, Luton FC akan menentang Barracuda FC.

Manakala, ST Labuan FC bertemu dengan Putra FC dalam perlawanan separuh akhir yang kedua.

ST Labuan FC sebelum ini merupakan Juara Triple Liga Labuan 2017 iaitu Juara Liga Komuniti, Juara Labuan Liberty Cup dan Juara Liga Persahabatan Calvary.

Kejohanan Piala Pairin merupakan salah satu program Tahun Melawat Tambunan 2017, dimana pertandingan ini telah berjaya menarik minat sebanyak 20 buah pasukan bolasepak di seluruh Sabah dan Labuan.