Peluang perniagaan dan kerjaya untuk generasi muda dalam bidang STEM

FOTO: PELAJAR mengambil kesempatan bergambar di booth STEM TPM.

12 Ogos 2017

MELAKA – Peluang perniagaan dan kerjaya yang luas menanti generasi muda yang mengikuti pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM), menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Technology Park Malaysia Corporation Sdn Bhd (TPM).

Dalam usaha untuk menggalakkan pelajar merebut peluang yang terdapat dalam pendidikan STEM, presiden dan ketua pegawai eksekutif TPM, Dato’ Ir. Mohd Azman Haji Shahidin berkata masyarakat Malaysia dan syarikat tempatan perlu menyesuaikan sains, teknologi dan inovasi terkini (STI) sejajar dengan perkembangan pesat ekonomi global berasaskan pengetahuan yang bergerak pantas ke era ekonomi digital.

“Dengan evolusi teknologi yang pesat, adalah penting bagi rakyat Malaysia untuk terus mengikuti perkembangan STI global.

“Transformasi pantas teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) telah membolehkan perhubungan global hari ini mencapai kadar 80 peratus, sekali gus menjadikan dunia sebuah global village.

“Pembangunan Internet of Things (IoTs) bagi segmen perindustrian dan pengguna telah meningkatkan perkembangan teknologi pintar. Kini kita perlu mula bersiap-siagakan bidang perniagaan dan usahawan Malaysia untuk menempuh Revolusi Perindustrian ke-4, yang lebih dikenali sebagai Industry 4.0. Era Industry 4.0 yang akan menerajui perkembangan ekonomi digital dalam masa terdekat,” katanya.

Sebagai pusat inkubasi teknologi utama, TPM berharap untuk memperkasa bidang teknologi di kalangan pelajar dan masyarakat di pameran dua hari di Karnival Kreativiti & Sains 4U yang dianjurkan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bermula esok.

Dalam usaha memperkasakan pelajar dan masyarakat, TPM mempamerkan peluang pembangunan kerjaya STI yang direka khas untuk Karnival Kreativiti & Sains 4U.

Ia juga memaparkan informasi kerjaya sains, teknologi dan inovasi (STI) yang memberikan maklumat mendalam mengenai prospek kerjaya dan peluang yang terdapat dalam bidang STI.

Di samping itu, TPM juga akan mempromosikan pelbagai perkhidmatan untuk pembangunan dan pengembangan keusahawanan dalam kelompok industri berteraskan bioteknologi, kejuruteraan lanjutan, ICT dan teknologi hijau.

Bagi rakyat Malaysia menghadapi landskap transformasi ekonomi global yang berubah pesat, Azman berkata, ia tetap relevan bagi TPM untuk terus menggalakkan pelajar sekolah bagi menanam minat dan pemahaman yang lebih tinggi mengenai kepentingan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).

“TPM komited untuk memainkan peranan perkhidmatan sosial masyarakat bukan sahaja kepada penduduk bandar, tetapi juga kepada penduduk dan kanak-kanak di luar bandar. Adalah menjadi harapan kami agar golongan belia dan kanak-kanak sekolah, untuk merebut peluang melawat ruang pameran kami bagi mendapatkan penjelasan yang lebih baik mengenai manfaat STI dan prospek kerjaya dalam bidang masing-masing, “katanya.

Pameran Karnival Kreativiti & Sains 4U yang dianjurkan MOSTI selama dua hari akan diadakan di Arena Petanque Hang Jebat, Pantai Kundur Kampung Gelam, Tanjung Kling Melaka, 12 & 13 Ogos dari 9.00 pagi hingga 5.00 petang.

Teknology Park Malaysia Sdn Bhd, sebuah agensi MOSTI, mempunyai infrastruktur bersepadu, kemudahan dan perkhidmatan sokongan untuk membantu usahawan yang berminat mengkomersialkan idea mereka dalam empat kelompok industri, iaitu ICT, Kejuruteraan, Bioteknologi dan Teknologi Hijau.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *