MB Cloud Mesiniaga penuhi standard keselamatan

16 Ogos 2017

KUALA LUMPUR – MB Cloud Mesiniaga telah menerima perakuan Standard Keselamatan Data Industri Kad Pembayaran 3.2 (PCI DSS 3.2), yang diberi mandat oleh jenama kad diiktiraf diperingkat antarabangsa dan ditadbir oleh Majlis Piawaian Keselamatan Industri Kad Pembayaran.

MB Cloud adalah awan perusahaan yang diuruskan dalam negara yang membolehkan pelanggan Mesiniaga menjalankan pengeluaran, sokongan, pemulihan bencana, pembangunan aplikasi dan beban kerja persekitaran ujian.

Dalam satu kenyataan, Pengurus Besar Produk dan Penyelesaian Mesiniaga Bhd, Eric Foo berkata, dengan menjadi hos dengan penyedia hosting awan patuh PCI DSS, pelanggan akan dijamin MB Cloud Mesiniaga telah memenuhi semua keperluan keselamatan yang diperlukan.

Beliau berkata lanjut, Mesiniaga telah disahkan oleh juruaudit bebas untuk dasar, prosedur dan senibina MB Cloud berdasarkan kriteria pensijilan PCI DSS 3.2, selain daripada pensijilan sedia ada syarikat termasuk ISO 27001 dan ISO 9001.

“Pencapaian ini terus menyokong kenyataan misi syarikat kami – Membantu Pelanggan Berjaya, menunjukkan komitmen kami dalam menyediakan penyelesaian dan perkhidmatan yang berkaitan dengan teknologi maklumat dengan standard dan kualiti tertinggi,” katanya.

Mesiniaga mempunyai lebih 35 tahun pengalaman dalam menyediakan penyelesaian dan perkhidmatan IT, disokong oleh banyak syarikat teknologi terkenal antarabangsa.

Penyelesaian dan perkhidmatannya termasuk pengkomputeran, keselamatan, mobiliti, rangkaian, perkhidmatan terurus, penyelenggaraan dan sokongan, pembangunan perisian dan pengujian perisian.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *