Bapa redah api selamatkan anak di Rancha Rancha Darat

FOTO: ANGGOTA bomba dan penyelamat memadam kebakaran pada rumah tersebut.

17 Ogos 2017

LABUAN – Seorang mangsa lelaki berumur 54 tahun melecur pada bahagian belakang badannya apabila beliau bertarung nyawa meredah api untuk menyelamatkan anak lelakinya berumur tiga tahun yang sedang tidur ketika rumah mereka dijilat api dalam insiden kebakaran yang berlaku di Kampung Rancha Rancha Darat sini pada tengah hari tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jainal@Zainal Madasin berkata, pihak mereka telah menerima panggilan kecemasan mengenai insiden itu pada jam 12.10 tengah hari.

“Kulit badan pada bahagian belakang mangsa yang dikenal pasti sebagai Shari Abdul Majid melecur kerana baju yang dipakai olehnya turut terbakar semasa beliau menyelamatkan anaknya.

“Anak lelaki mangsa selamat dalam kejadian ini. Sementara isteri mangsa, Kasirah Beddu yang berumur 38 tahun juga berjaya menyelamatkan anak perempuan mereka yang berumur empat tahun dalam kejadian kebakaran ini.

“Mangsa iaitu Shari telah dikejarkan ke Hospital Labuan dengan menggunakan ambulans untuk rawatan lanjut,” katanya.

Jainal berkata lanjut, terdapat tiga buah keluarga tinggal di rumah berkenaan yang telah hangus terbakar ketika anggota bomba dan penyelamat tiba di lokasi terbabit.

“Kesemua mangsa dalam insiden kebakaran ini tidak berjaya menyelamatkan sebarang dokumen penting mereka.

“Walau bagaimanapun, pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Labuan akan membantu kesemua mangsa didalam urusan mendapatkan dokumen penting seperti kad pengenalan, surat beranak, surat nikah, surat temujanji hospital dan yang berkaitan untuk meringankan urusan mangsa yang terlibat,” katanya dan menambah punca kebakaran masih dalam siasatan pihak mereka.

Operasi memadam kebakaran itu tamat pada jam 1.28 petang, dimana sejumlah 20 anggota bomba dan penyelamat serta tiga orang bomba sukarela dari Bomba Sukarela Kampung Gersik terlibat didalam operasi itu.

MANGSA tersebut diberi bantuan kecemasan oleh anggota bomba dan penyelamat sementara menunggu ketibaan ambulans.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *