Kes rempit di Labuan: 41 motosikal disita dan 72 keping saman dikeluarkan

FOTO: ANTARA motosikal yang disita dalam Operasi Samseng Jalanan di Labuan.

28 Ogos 2017

LABUAN – Sejumlah 41 buah motosikal telah disita oleh pihak polis dalam Operasi Samseng Jalanan untuk membenteras kegiatan rempit di Jalan Tanjung Aru sini semalam.

Ketua Polis Daerah Labuan, ACP Adzhar Othman berkata, daripada kesemua jumlah motosikal yang disita itu, tujuh daripadanya ditinggalkan oleh penunggang motosikal semasa operasi tersebut dijalankan.

“Dalam operasi ini, sebanyak 72 keping saman telah dikeluarkan untuk pelbagai kesalahan seperti tiada lesen memandu, tiada cermin sisi, tiada nombor plat, tamat tempoh Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan sebagainya.

“Kesemua penunggang yang terlibat dalam Operasi Samseng Jalanan adalah berumur antara 15 hingga 22 tahun,” katanya kepada pihak media petang tadi.

Kesemua motosikal itu disita dibawah Seksyen 60 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sejumlah 15 pegawai dan anggota polis trafik terlibat didalam operasi tersebut.

Sebelum itu, Adzhar berkata, pihak polis telah mendapat aduan dari orang awam berkenaan dengan kegiatan rempit di jambatan Jalan Tanjung Aru, Lubuk Temiang.

“Hasil daripada aduan itu, pihak polis telah membuat risikan dan pemantauan berkenaan dengan kegiatan rempit berkumpulan itu.

“Pelbagai aksi penunggang motosikal dapat dilihat ketika siasatan dilakukan, dimana kegiatan terbabit boleh mengundang bahaya bukan sahaja diri mat rempit terbabit bahkan pengguna jalan raya yang lain.

“Operasi Samseng Jalanan ini akan dilaksanakan secara berterusan bagi mencantas kegiatan tersebut dari terus berleluasa di Labuan,” katanya.

Beliau berkata lanjut, kesemua ibu bapa  dan penjaga telah dipanggil bersama anak mereka yang terlibat dalam kegiatan rempit itu ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Labuan.

“Dalam sesi pertemuan itu, mereka yang hadir telah diberi nasihat dan kaunseling mengenai bahaya  merempit, kesan ke atas diri sendiri dan masyarakat terutamanya pengguna jalanraya yang lain serta tindakan undang-undang  yang boleh diambil terhadap mereka,” katanya.

Turut ditekankan dalam pertemuan itu ialah  peranan ibu bapa dalam menangani masalah rempit yang dilakukan oleh anak-anak mereka dan kerjasama yang harus diberikan kepada pihak berkuasa.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *