Mampukah sektor pelancongan berjaya di Labuan?

FOTO: PULAU Rusukan Besar salah satu destinasi pelancongan di Labuan yang mula terkenal dikalangan pelancong dari China dan Taiwan.

28 Ogos 2017

Pulau Labuan kini mengorak langkah dengan menjadikan sektor pelancongan sebagai sektor utama bagi menggerakkan ekonomi setempat di pulau bebas cukai ini.

Berikutan kelembapan sektor minyak dan gas di sini, industri pelancongan merupakan alternatif yang dilihat mampu ‘memulihkan’ semula ekonomi Labuan.

Usaha yang diambil untuk menarik pelancong terutamanya dari Tanah Besar China dan Taiwan kini membuahkan hasil dengan kemasukan beberapa kumpulan pelancong dari kedua negara tersebut ke Labuan sejak tahun lalu lagi.

Pada tahun ini iaitu pada bulan Julai yang lalu, industri pelancongan di sini memperlihatkan perkembangan selanjutnya dengan adanya sewaan khas kapal terbang (chartered flight) Malindo Air.

Kapal terbang Malindo Air yang membawa lebih daripada 100 orang pelancong yang terbang terus dari Taiwan ke Labuan sememangnya sesuatu yang dinantikan oleh penggiat industri pelancongan di sini.

Selain itu, pakej lain yang ditawarkan ialah dengan membawa masuk pelancong China ke Labuan melalui Brunei.

Bas persiaran dari Brunei yang membawa pelancong kini seringkali dapat dilihat di sekitar Bandar Labuan.

Pihak kerajaan tempatan sememangnya mensasarkan pelancong dari China dan Taiwan untuk menggerakkan industri pelancongan di Labuan.

Namun, apakah usaha lain yang bakal dilaksanakan untuk membawa pelancong selain dari kedua negara di atas?

Kita mempunyai pantai yang bersih lagi indah serta telah mendapat pengiktirafan dari luar negara seperti United Beach Nation.

Kita juga punya pulau yang tidak kurang menariknya seperti Pulau Rusukan Besar, Pulau Rusukan Kecil, Pulau Kuraman dan Pulau Papan.

Kesemua daya tarikan di atas sudah lama wujud tinggal lagi perkhidmatan untuk ke pulau tersebut perlu dipertingkatkan.

PANTAI Tanjung Batu yang menjadi tempat kegemaran untuk bersantai dikalangan penduduk tempatan terutamanya pada hujung minggu.

Di Kota Kinabalu, mereka mempunyai Jesselton Point iaitu pusat kaunter tiket bot yang akan membawa pelancong ke beberapa pulau kesukaan mereka seperti Pulau Mamutik, Pulau Sapi dan sebagainya untuk berlibur.

Mungkin di Labuan idea yang sama boleh diguna pakai dengan mewujudkan pusat kaunter tiket untuk pelancong yang mahu ke pulau di sekitar Labuan.

Pada saat ini, Labuan belum lagi mempunyai pusat kaunter tiket seumpama itu.

Perkara seumpama ini perlu difikirkan untuk memastikan statistik jumlah pelancong sama ada pelancong tempatan mahu pun luar yang berkunjung ke pulau di sekitar Labuan meningkat.

Apa yang pasti, keadaan pada saat ini iaitu ketiadaan pusat kaunter tiket khas tersebut seolah-oleh menjadi kekangan kepada pelancong untuk datang berkunjung ke pulau di sekitar perairan Labuan.

Jika difikirkan, potensi industri pelancongan Labuan sememangnya besar.

Apa yang kita lihat kini iaitu usaha yang dimainkan oleh pihak kerajaan tempatan bersama dengan pemain industri pelancongan untuk menggalakkan sektor pelancongan di sini perlu mendapat pujian.

Sekurang-kurangnya, mereka tidak berpeluk tubuh kerana mengenangkan keadaan ekonomi Labuan yang terjejas teruk kerana terlalu bergantung kepada sektor minyak dan gas sebelum ini setelah kejatuhan harga minyak global.

Walaupun, impak daripada usaha untuk mahu memajukan sektor pelancongan di Labuan belum begitu ketara lagi, namun, masa perlu diberikan kepada mereka yang terlibat untuk membangunkan industri tersebut di sini.

Sektor minyak dan gas juga mengambil masa belasan bahkan puluhan tahun untuk kelihatan gah di Pulau Labuan sebelum ini.

Demikian juga dengan industri pelancongan yang akan mengambil masa seperti itu untuk membuahkan hasil yang lumayan. InsyaAllah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *