Insiden pergaduhan: Lima warga Filipina ditahan di Labuan

4 September 2017

LABUAN – Lima suspek lelaki warga Filipina berumur antara 14 hingga 24 tahun ditangkap polis pada Sabtu lalu kerana terlibat didalam pergaduhan di Kampung Baru Selamat iaitu perumahan setinggan di Wilayah Persekutuan Labuan.

Ketua Polis Daerah Labuan, ACP Adzhar Othman (gambar) berkata, kejadian tersebut yang berpunca daripada salah faham antara mereka yang terlibat berlaku lebih kurang pada jam 10.30 malam.

“Seorang mangsa cedera ringan dalam pergaduhan ini, dimana mangsa mengalami lebam di kepala. Kesemua suspek yang ditahan adalah pemegang IMM13,” katanya kepada pihak media petang tadi.

Siasatan awal pihak polis mendapati, sebelum insiden pergaduhan itu berlaku, mangsa berada di perkarangan luar rumah jirannya untuk menyaksikan acara hiburan sebagai sambutan persiapan majlis perkahwinan yang akan diadakan pada esok hari.

Semasa menyaksikan acara hiburan itu, mangsa bersama seorang rakannya hanya berdiri di atas jambatan.

Kemudiannya, terdapat beberapa remaja melintas di hadapan mereka sambil menjeling ke arah mangsa lalu mangsa menegur orang yang menjeling itu.

Lebih kurang lima minit setelah kumpulan remaja tersebut berlalu, mereka datang semula lalu menumbuk mangsa sehingga mangsa jatuh ke bawah jambatan yang berlumpur bersama salah seorang suspek yang lain.

Setelah jatuh dan bergelut, rakan suspek yang lain turut terjun ke bawah jambatan lalu menumbuk badan mangsa bertubi-tubi.

Kepala mangsa cedera akibat dipukul dengan menggunakan tali pinggang.

Namun demikian, kejadian yang berlaku lebih kurang dua minit itu berjaya dileraikan oleh penduduk yang berada di tempat kejadian.

Kesemua suspek yang terlibat telah berjaya ditangkap oleh pihak polis untuk tindakan lanjut.

Kes ini disiasat dibawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *