Nyaris kemalangan disebabkan masalah lampu trafik di Labuan

12 September 2017

LABUAN – Salah seorang pengguna jalan raya hampir bertembung dengan kenderaan lain disebabkan masalah pada lampu trafik di simpang empat berhampiran dengan bangunan Ujana Kewangan sini pagi tadi.

Beliau berkata, kereta sebelumnya bergerak, namun, beliau memberhentikan keretanya apabila melihat lampu warna merah pada lampu trafik di situ dan tidak perasan bahawa lampu merah tersebut sebenarnya mengalami masalah kerana kekal berwarna merah dan tidak berubah untuk beberapa minit.

“Saya mulai perasan apabila kereta yang beratur di belakang saya mulai membunyikan hon kereta mereka untuk menyatakan bahawa lampu trafik tersebut rosak.

“Disebabkan desakan hon itu, saya menekan pedal minyak kereta untuk bergerak. Namun, kereta saya nyaris bertembung dengan kereta lain yang bergerak laju dari arah sebelah kiri,” katanya yang menghubungi Labuan Times.

Beliau berkata lanjut, lampu trafik di Labuan seringkali rosak atau bermasalah sehingga menimbulkan masalah trafik dikalangan pengguna jalan raya.

“Saya pernah melihat kereta lain pada tahun 2015 dahulu iaitu di kawasan lampu trafik yang sama, dimana kereta Proton Wira itu telah dilanggar oleh kereta lain disebabkan kegagalan lampu trafik tersebut untuk berfungsi.

“Seringkali juga ada lampu trafik lain di sini yang mengambil masa beberapa hari untuk berfungsi semula apabila rosak. Apakah pihak tertentu sedar mengenai masalah lampu trafik yang begitu lama untuk dipulihkan di Labuan?

“Jarang juga kita mendengar lampu trafik di kawasan lain seperti di Kota Kinabalu, mengambil masa yang lama untuk dibaiki semula seandainya mengalami masalah,” katanya.

Beliau seterusnya menyeru agar pihak tertentu peka terhadap masalah ini agar sebarang kejadian yang tidak diingini seperti kemalangan jalan raya dapat dielakkan disebabkan pengguna jalan raya sudah terbiasa dengan sistem lampu trafik.

Beliau juga menyeru agar pihak polis trafik memantau keadaan lalu lintas sementara menunggu lampu trafik yang bermasalah dibaiki semula.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *