Minuman keras tanpa cukai dirampas di Menumbok

16 September 2017

LABUAN – Minuman keras pelbagai jenis tanpa cukai seperti Carlsberg, Royal Stout dan Skol Beer yang dianggarkan bernilai RM105,000 berjaya dirampas oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Labuan di perairan Menumbok pada awal pagi tadi.

Pengarah Maritim Daerah Labuan, Kepten Maritim Che Adnan Md Isa berkata, kesemua minuman keras tersebut cuba diseludup dari Pulau Bebas Cukai Labuan.

“Berdasarkan maklumat dari orang awam, pemantauan telah dilakukan oleh anggota APMM Labuan, dimana aktiviti tersebut telah berjaya dikesan pada pukul 1.15 pagi.

“Bot Ronda APMM Labuan telah mengekori bot yang dipercayai membawa barangan seludup yang bergerak dari Labuan menuju ke Menumbok.

“Setelah hampir 10 minit mengekori, kehadiran pihak Maritim Malaysia telah disedari yang menyebabkan bot tersebut memecut laju ke tebing muara Mempakul dan kelihatan dua orang suspek melarikan diri ke belukar yang berhampiran,” katanya.

Beliau berkata lanjut, hasil pemeriksaan pada bot tanpa nombor pendaftaran yang ditinggalkan itu telah menemui sejumlah minuman keras tersebut.

Kesemua minuman keras itu beserta bot dan tiga engin Yamaha berkeupayaan 200 kuasa kuda turut dirampas, dan dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Labuan untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim bagi siasatan selanjutnya.

Kes ini disiasat dibawah Akta Kastam 1967.

Orang awam diseru untuk menyalurkan maklumat bagi menghalang kegiatan penyeludupan ini dari terus berleluasa.

Sebarang maklumat dan aduan boleh menghubungi talian 24 jam iaitu MERS 999 atau Pusat Operasi Daerah Maritim Labuan 087-427999.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *